MBSB Bank, WIH Malaysia Meterai Perjanjian Pembiayaan RM1 Bilion Bagi Loji Simen Gua Musang
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- MBSB Bank Bhd dan WIH Malaysia Building Materials Sdn Bhd (WIH Malaysia) memeterai perjanjian pembiayaan berjumlah RM1.0 bilion bagi membangunkan loji pembuatan simen dan batu kapur bersepadu di Gua Musang, Kelantan.
WIH Malaysia adalah cabang operasi West China Cement Ltd di Malaysia, yang beroperasi di bawah anak syarikat pelaburan antarabangsanya, Yaobai International Holding Ltd.
Menurut MBSB dalam satu kenyataan hari ini, perjanjian itu melibatkan pembinaan kemudahan moden dan cekap tenaga yang direka untuk memperkukuhkan bekalan bahan binaan Malaysia dalam tempoh jangka panjang sambil memacu pertumbuhan industri yang bertanggungjawab.
Ia melibatkan pembinaan loji simen bersepadu dengan kapasiti 7,500 tan sehari dan operasi kuari batu kapur, yang disokong oleh teknologi pembuatan termaju serta menggunakan inisiatif kecekapan tenaga dan pengurangan pelepasan.
“Kemudahan ini dijangka memenuhi permintaan yang semakin meningkat di seluruh Pantai Timur dan bahagian lain di Semenanjung Malaysia, disokong oleh kedudukannya yang strategik di Gua Musang serta hampir dengan koridor infrastruktur utama,” menurut bank itu.
Dalam pada itu, sebagai sebahagian daripada struktur pembiayaan, MBSB menyatakan bahawa WIH Malaysia akan memformalkan komitmen kelestariannya melalui surat komitmen peralihan, sekali gus mengukuhkan tekadnya untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, dan melaksanakan sasaran penyahkarbonan yang boleh diukur serta pemantauan prestasi alam sekitar.
Menurut MBSB, antara inisiatif peralihan utama projek itu ialah pemasangan sistem penjanaan kuasa pemulihan haba buangan berkapasiti 12 megawatt, yang dijangka dapat menampung 26 peratus daripada keperluan elektrik loji itu, dan penggunaan bahan api biojisim bagi menyokong penggantian arang batu sehingga 30 peratus.
-- BERNAMA