BERITA TERKINI   PM Anwar hadir Sidang Kemuncak CEO APEC 2026 bagi menyampaikan ucaptama di Pusat Persidangan Antarabangsa Qianhai (QICC) di Shenzhen hari ini | 

Malaysia Fokus Perkukuh Perdagangan, Pelaburan Serantau Pada Sidang Kemuncak Apec 2026 - PM Anwar

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

SHENZHEN, 18 Nov (Bernama) -- Malaysia akan memberi tumpuan, antara lain, kepada usaha memperkukuh perdagangan dan pelaburan serantau, memperluas kerjasama dalam ekonomi digital serta memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut meraih manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Asia Pasifik pada Sidang Kemuncak APEC 2026 di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tiba di Shenzhen pada tengah malam tadi dari Manila, berkata Malaysia akan terus mendukung perdagangan terbuka dan adil yang berlandaskan hukum dan peraturan dalam suasana ekonomi dunia yang kian mencabar.

Ad Banner
Ad Banner

“Dalam suasana ekonomi dunia yang kian mencabar, Malaysia akan terus mendukung perdagangan yang terbuka, adil serta berlandaskan hukum dan peraturan,” kata beliau menerusi hantaran di laman X hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kerjasama itu mesti diterjemahkan kepada peluang pekerjaan yang lebih baik, ruang yang lebih luas bagi usahawan tempatan untuk menembusi pasaran serantau serta taraf hidup yang lebih baik buat rakyat.

Shenzen yang terletak di wilayah Guangdong sering digambarkan sebagai Lembah Silikon bagi China dan menjadi lambang transformasi luar biasa ekonomi negara itu sejak bermulanya pembaharuan berorientasikan pasaran pada 1978.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beberapa syarikat gergasi teknologi paling berpengaruh di China, termasuk Huawei, Tencent, BYD dan DJI beroperasi di sini, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai hab inovasi dan teknologi terkemuka di negara itu.

Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Tan Sri Amran Mohamed Zin.

Anggota delegasi lain termasuk Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan setiausaha sulit utama kepada Perdana Menteri Datuk Shahrol Anuwar Sarman.

China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM541.54 bilion (US$126.81 bilion) pada 2025.

APEC merupakan forum antara kerajaan bagi 21 ekonomi anggota yang menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia Pasifik yang merangkumi hampir 40 peratus daripada populasi dunia, hampir separuh daripada perdagangan global dan lebih daripada 60 peratus ekonomi global.

Malaysia merupakan antara 12 anggota pengasas APEC. Anggota lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat, Filipina, Singapura dan Thailand.

China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea menyertainya pada 1993. Chile menyertai pada 1994 manakala pada 1998, Peru, Rusia dan Vietnam turut menyertainya menjadikan jumlah keahlian penuh seramai 21 anggota.

-- BERNAMA