Kepelbagaian Ekonomi Malaysia Kurangkan Kebergantungan Pada Sektor AI - Gabenor BNM
KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai mengurangkan kebergantungannya terhadap mana-mana sektor tunggal, termasuk kecerdasan buatan (AI), kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata Malaysia mempunyai asas ekonomi yang luas merangkumi sektor perkhidmatan, pembuatan, perlombongan dan pertanian, manakala eksportnya juga pelbagai dari segi produk serta pasaran destinasi.
“Malaysia mempunyai ekonomi yang kukuh, baik dari segi struktur ekonomi mahupun struktur eksportnya. Kita mempunyai sektor perkhidmatan, pembuatan, perlombongan dan pertanian. Oleh itu, kita tidak bergantung kepada satu sektor tertentu sahaja.
“Malah dalam aspek eksport, kita mempelbagaikan produk ditawarkan kepada dunia serta pasaran yang ditembusi. Sekali lagi, kita tidak bergantung kepada satu sektor tertentu,” katanya semasa sidang media mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada soalan mengenai risiko Malaysia menjadi terlalu bergantung kepada lonjakan pelaburan AI global, terutamanya dalam persekitaran permintaan yang kukuh bagi semikonduktor, produk elektrik dan elektronik (E&E) serta pelaburan pusat data.
Kitaran pelaburan AI dan teknologi global akan berterusan sehingga tahun depan, walaupun pada kadar yang lebih sederhana berbanding momentum semasa, katanya.
Menurut beliau, perkembangan ini akan disokong oleh momentum permintaan global, termasuk peningkatan penggunaan AI, seterusnya akan menyokong eksport sektor E&E Malaysia.
Beliau berkata kedudukan Malaysia dalam ekosistem semikonduktor adalah hasil daripada usaha terancang untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi dan memacu ekonomi ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi.
“Nilai perolehan kontrak diterima oleh syarikat-syarikat dalam sektor ini kekal kukuh sejak lapan bulan lepas. Ini menunjukkan permintaan yang kukuh dalam sektor tersebut,” katanya.
Abdul Rasheed berkata permintaan global terhadap pelaburan AI dan teknologi masih di peringkat awal, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk Malaysia meraih manfaat daripada pengembangan sektor ini.
Beliau berkata BNM akan terus memantau perkembangan global serta menilai implikasinya terhadap ekonomi domestik dan pasaran kewangan serta memperkukuh asas ekonomi dan penampan negara.
-- BERNAMA