BERITA TERKINI   Penggunaan swasta berkembang 4.3 peratus tahun ke tahun, pelaburan awam meningkat 9.4 peratus dan eksport bersih naik 5.7 peratus - BNM | Sektor perkhidmatan berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku ketiga 2026, pembuatan (7.7 peratus), pembinaan (5.9 peratus) dan pertanian (1.4 peratus) dan sektor perlombongan menguncup sebanyak 6.1 peratus - BNM | Lebihan akaun semasa Malaysia berjumlah RM5.7 bilion pada suku ketiga 2026, pelaburan langsung asing catat RM14.3 bilion, didorong oleh peningkatan pendapatan dilaburkan semula - BNM | Kedudukan awal Malaysia kukuh, asas ekonomi teguh, langkah-langkah dasar serta dinamisme perniagaan Malaysia akan terus menjadi penampan bagi ekonomi negara terhadap kejutan luaran - BNM | Inflasi keseluruhan kekal stabil pada 1.9 peratus pada suku ketiga 2026, manakala inflasi teras menyederhana lagi kepada 1.7 peratus - BNM | 

Kerajaan Tetapkan Mnimum 30 Peratus Kandungan Tempatan Untuk Projek Pusat Data Baharu

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Kerajaan menetapkan sasaran minimum 30 peratus kandungan tempatan bagi projek pusat data baharu diluluskan di bawah Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) untuk meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam pembangunan industri itu.

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak anak Kumbong berkata syarat itu merangkumi perkhidmatan kejuruteraan, penyelenggaraan, rangkaian dan penyediaan teknologi.

Beliau berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memantau pematuhan syarat berkenaan melalui laporan pelaksanaan yang dikemukakan syarikat setiap enam bulan.

Ad Banner
Ad Banner

“Pada masa sama, pengendali pusat data digalakkan melaksanakan program pembangunan pembekal tempatan bagi memperkukuh keupayaan industri domestik serta menggalakkan pemindahan teknologi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Sri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) mengenai usaha memastikan pertumbuhan pusat data turut membawa limpahan pembangunan bakat dan peluang perniagaan kepada kawasan bersebelahan termasuk Pontian dan Tanjung Piai.

Sementara itu, menjawab soalan asal Wee mengenai nilai ekonomi sebenar yang dijana berbanding nilai pelaburan diumumkan, Wilson Ugak berkata industri pusat data bersifat intensif modal dan memerlukan pelaburan awal yang besar.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata sebahagian besar peralatan diimport, manakala perbelanjaan modal direalisasikan secara berperingkat sepanjang tempoh pembangunan projek.

Justeru, nilai pelaburan yang diumumkan tidak boleh disamakan secara langsung dengan jumlah perbelanjaan sebenar, pewujudan peluang pekerjaan atau nilai tambah kepada ekonomi tempatan dalam sesuatu tempoh.

Setakat Oktober, 2026, sebanyak 117 projek pusat data telah diluluskan di Malaysia, manakala pelaburan diluluskan bagi segmen pusat data dan pengkomputeran awan pada separuh pertama tahun ini berjumlah RM95.8 bilion.

Beliau berkata di bawah DCTF dipengerusikan bersama Kementerian Digital dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, sebanyak 27 projek dengan anggaran nilai pelaburan RM225.97 bilion telah diluluskan sehingga Oktober tahun ini.

“Dari segi pekerjaan, berdasarkan kedudukan sehingga suku kedua 2026, projek di bawah DCTF dijangka menjana 4,053 peluang pekerjaan, termasuk 3,523 jawatan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan elektrik dan mekanikal, rangkaian dan keselamatan siber serta operasi dan penyelenggaraan pusat data,” katanya.

Wilson Ugak berkata walaupun jumlah pekerjaan langsung lebih rendah berbanding sektor seperti pembuatan, industri pusat data menawarkan pekerjaan lebih khusus dan berkemahiran tinggi, selain mewujudkan pekerjaan tidak langsung dalam sektor pembinaan, kejuruteraan serta perkhidmatan sokongan.

Beliau turut memetik laporan Bank Negara Malaysia, bagi suku ketiga 2025 yang menunjukkan jawatan peringkat permulaan dalam industri itu menawarkan gaji sekitar RM3,000 hingga RM7,000 sebulan, manakala jawatan kanan antara RM10,000 hingga RM30,000 sebulan.

“Kadar gaji ini lebih tinggi berbanding dengan gaji median bulanan rakyat Malaysia sebanyak RM2,793 pada tahun 2024,” katanya.

Mengenai hasil cukai, beliau berkata sumbangan cukai pendapatan korporat secara langsung dijangka meningkat secara berperingkat selepas tamat tempoh insentif pelaburan dinikmati sebahagian projek pusat data.

Bagaimanapun, aktiviti pembangunan dan pengoperasian pusat data turut menyumbang kepada hasil kerajaan melalui cukai jualan dan perkhidmatan, cukai taksiran pihak berkuasa tempatan serta hasil berkaitan penggunaan dan pembekalan utiliti.

Beliau berkata kerajaan turut memberikan penekanan kepada pembangunan modal insan melalui kerjasama strategik dengan pengendali pusat data, pemain industri dan institusi latihan bagi memperluas peluang latihan industri, pemindahan pengetahuan serta pensijilan profesional.

-- BERNAMA