BERITA TERKINI   Malaysia berjaya mencatat antara prestasi ekonomi terbaik di rantau ini kendatipun dunia digasak pelbagai pancaroba - PM Anwar | Tindakan kerajaan menangani krisis Asia Barat dan reformasi Ekonomi MADANI memperkukuh daya tahan ekonomi negara - PM Anwar | Langkah proaktif Kerajaan MADANI bantu Malaysia kekalkan pertumbuhan KDNK yang kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan luaran - PM Anwar | Malaysia tidak terlalu bergantung pada satu sektor sahaja seperti AI berikutan struktur ekonominya yang pelbagai – Gabenor BNM | Impak langkah kawalan cip terbaharu AS masih belum dapat dipastikan - Gabenor BNM | 

Persidangan UMSKL Himpun Ahli Akademik, Penyelidik Dari Lima Negara

LABUAN, 18 Nov (Bernama) -- Ahli akademik dan penyelidik dari lima negara Asia Tenggara telah berkumpul di pulau Labuan hari ini untuk Persidangan Perniagaan Antarabangsa Gunaan keenam (AIBC 2026).

Persidangan sehari itu, yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) bertujuan untuk memupuk kerjasama penyelidikan dan menangani cabaran perniagaan global yang sedang muncul.

Dianjurkan oleh UMSKAL melalui Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), persidangan itu menghimpunkan ahli akademik, wakil industri dan pelajar pascasiswazah untuk bertukar-tukar idea mengenai transformasi digital, kewangan mampan serta daya tahan perniagaan.

Ad Banner
Ad Banner

Bertemakan "Mengemudi Gangguan Global: Transformasi Digital, Kewangan Mampan dan Perniagaan Berdaya Tahan dalam Dunia Yang Tidak Menentu," yang mana, persidangan itu memfokuskan kepada peranan teknologi digital, pembiayaan pembangunan mampan termasuk kebolehsuaian organisasi di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi.

Pengarah UMSKAL Profesor Dr Shamsul Bahari Shamsudin, mewakili pemangku Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Profesor Dr Raman Noordin, merasmikan persidangan tersebut.

Dekan FKAL Profesor Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal berkata penyelidikan gunaan penting dalam membantu industri, institusi dan masyarakat bagi membuat keputusan berasaskan bukti.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata AIBC menyediakan platform untuk merapatkan penemuan penyelidikan dengan keperluan praktikal perniagaan dan pembangunan wilayah.

Profesor Ekonomi di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, Profesor Diraja Datuk Dr Rajah Rasiah telah menyampaikan ucaptama, “Membiayai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu: Pencapaian Terkini Asia Tenggara”.

Lima penceramah jemputan turut berkongsi kepakaran mereka mengenai transformasi digital dan daya tahan tenaga kerja, pembangunan ekosistem halal dan pelancongan mesra Muslim di Borneo, daya tahan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, perancangan sistem maklumat strategik di universiti awam serta ekonomi biru-hijau.

Persidangan itu turut menampilkan pembentangan kertas penyelidikan dan kolokium pasca siswazah, memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi penemuan, menerima maklum balas selain meneroka potensi kerjasama.

Rekod awal menunjukkan 131 pendaftaran, melibatkan 71 pembentang kertas penyelidikan dan sembilan pembentang poster, tertakluk kepada pengesahan kehadiran terakhir.

Dipengerusikan oleh Dr Salumah Nain, persidangan itu dianjurkan dengan kerjasama enam institusi antarabangsa iaitu Universiti Kasetsart, Thailand; Universitas Slamet Riyadi, Indonesia; Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei Darussalam; Universiti Putera Songkla, Thailand; Universitas Negeri Jakarta, Indonesia dan Universiti Negeri Palawan, Filipina.

Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah adalah penaja utama persidangan itu.

-- BERNAMA