CIDB Gesa Kontraktor Dorman Kemas Kini Status Sebelum 29 Nov
KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menggesa kontraktor berstatus dorman supaya mengemas kini maklumat dan status pendaftaran masing-masing dalam Sistem Pengurusan Industri Pembinaan (CIMS) CIDB sebelum 29 November ini bagi mengelak implikasi terhadap pendaftaran syarikat.
Menurut CIDB dalam kenyataan hari ini, kontraktor terlibat perlu memastikan pengemaskinian diselesaikan dalam tempoh 21 hari dari tarikh pemakluman pada 9 November lepas dengan mengemukakan bukti penglibatan aktif syarikat dalam industri pembinaan serta dokumen sokongan berkaitan.
“CIDB kini sedang melaksanakan Program Pengemaskinian Senarai Daftar Kontraktor Dorman sebagai langkah memastikan senarai kontraktor berdaftar mencerminkan syarikat yang benar-benar aktif dalam industri pembinaan.
“Berkuat kuasa 1 Jan 2027, pengelasan kontraktor dorman akan dimansuhkan. Kontraktor yang masih berstatus dorman selepas tarikh tersebut akan dikeluarkan daripada senarai kontraktor berdaftar,” menurutnya.
CIDB menegaskan kontraktor terlibat tidak seharusnya menunggu sehingga saat akhir untuk mengambil tindakan, sebaliknya perlu mengemas kini maklumat melalui akaun CIMS CIDB dengan mengisytiharkan bukti penglibatan aktif syarikat mengikut syarat yang ditetapkan bagi setiap gred pendaftaran.
Menurut CIDB, kontraktor G1 hingga G6 perlu mengemukakan bukti sekurang-kurangnya satu projek atau 12 penyertaan perolehan dalam tempoh tiga tahun terkini manakala kontraktor G7 perlu memenuhi kedua-dua syarat, iaitu sekurang-kurangnya satu projek dan 12 penyertaan tender dalam tempoh yang sama.
Kontraktor juga perlu menukar status pengelasan daripada dorman kepada aktif melalui Modul Pendaftaran Kontraktor dalam sistem CIMS selepas melengkapkan pengemaskinian dokumen dan maklumat berkaitan.
CIDB memaklumkan kegagalan mengemas kini status boleh menyebabkan Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) ditarik balik manakala pengarah atau pemilik syarikat boleh disenarai hitam selama setahun.
“Penarikan balik PPK turut menyebabkan Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) dan Sijil Taraf Bumiputera (STB) tidak lagi sah sepanjang tempoh PPK ditarik balik,” menurutnya.
Sehubungan itu, CIDB menggesa semua kontraktor yang menerima pemakluman status dorman supaya menyemak akaun CIMS dan mengambil tindakan segera bagi mengelak implikasi terhadap pendaftaran syarikat serta kelayakan untuk terus menjalankan aktiviti pembinaan.
Kontraktor boleh mengemas kini maklumat masing-masing menerusi https://cims.cidb.gov.my/ atau mendapatkan maklumat lanjut melalui e-Bantuan CIDB dan CIDB Careline di talian 03-5567 3300.
-- BERNAMA