Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah hari ini, selepas tertekan oleh laporan bahawa pembeli China telah membatalkan kargo minyak sawit Malaysia di tengah-tengah inventori yang agak tinggi di pelabuhan China.
Pasaran turut terjejas oleh anggaran eksport November yang lebih lemah, kata peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng.
Pembatalan kargo minyak sawit Malaysia menimbulkan kebimbangan terhadap permintaan China yang perlahan, manakala lambakan dalam inventori domestik Malaysia terus membebankan sentimen.
“Kami melihat sokongan serta-merta pada paras RM4,150 setan dan rintangan pada RM4,300,” katanya kepada Bernama.
Pada penutupan, kontrak bulan semerta Disember 2026 kehilangan RM102 kepada RM4,040 setan, Januari 2027 susut RM112 kepada RM4,141 setan dan Februari 2027 merosot RM116 kepada RM4,217 setan,
Mac 2027 turun RM126 kepada RM4,281 setan, April 2027 jatuh RM135 kepada RM4,333 setan, manakala Mei 2027 menyaksikan kerugian sebanyak RM146 kepada RM4,363 setan.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 117,017 lot berbanding 118,412 lot yang dicatatkan semalam, kepentingan terbuka pula melemah kepada 338,348 kontrak daripada 339,587 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi November Selatan susut RM60 kepada RM4,080 setan.
-- BERNAMA