BERITA TERKINI   Liga Super: Negeri Sembilan FC 0-2 Kuching City FC | 

YTL Power Nafi Pusat Data Salur GPU Nvidia Kepada Pelanggan China

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- YTL Power International Bhd (YTL Power) menafikan dakwaan bahawa operasi pusat datanya di Johor, memudahkan pemindahan unit pemprosesan grafik (GPU) NVIDIA kepada pelanggan di China.

YTL Power menerusi kenyataan hari ini menyifatkan laporan yang mengaitkannya dengan kontroversi itu, sebagai “tidak benar sama sekali”.

Syarikat itu menjelaskan bahawa perkhidmatan ko-lokasi pusat datanya yang merangkumi ruang, bekalan elektrik, sistem penyejukan dan sambungan rangkaian, disediakan kepada pelbagai pelanggan global, termasuk syarikat penyedia perkhidmatan awan gergasi dari Amerika Syarikat (AS).

Ad Banner
Ad Banner

Menurut kenyataan itu semua perkhidmatan tersebut, disediakan mengikut peruntukan undang-undang Malaysia dan kawalan perdagangan AS.

“YTL Power bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam pembangunan pusat datanya, serta mematuhi semua keperluan pelaporan dan pengimportan yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

YTL Power turut menjelaskan bahawa peraturan akhir interim terbaharu yang dikeluarkan oleh Biro Industri dan Keselamatan (BIS) Jabatan Perdagangan AS bertajuk “Menangani Akses Jarak Jauh kepada Semikonduktor Canggih”, tidak menjejaskan perkhidmatan ko-lokasi syarikat itu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Peraturan itu tertumpu kepada pengimport GPU dan penyedia perkhidmatan pengkomputeran kepada pelanggan kategori D:5,” menurut kenyataan itu.

Menurut YTL Power, mereka turut yakin bahawa permintaan terhadap infrastruktur pusat data ko-lokasi di Malaysia akan terus meningkat, didorong permintaan global yang kukuh, termasuk dari AS.

Sebelum ini, akhbar The New York Times (NYT) melaporkan bahawa cip NVIDIA di pusat data YTL Power di Johor dikendalikan oleh Speedmatrix, anak syarikat Megaspeed yang berpangkalan di Singapura, bagi pihak syarikat teknologi China, Alibaba.

Laporan itu mendakwa operasi berkenaan berpotensi memberi Alibaba akses kepada perkakasan kecerdasan buatan (AI) canggih yang tertakluk pada sekatan eksport AS.

-- BERNAMA