BERITA TERKINI   Liga Super: Negeri Sembilan FC 0-2 Kuching City FC | Ismail Lasim ikrar pertahan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah | 

ISIS Sambut Baik Pendirian PM Anwar Mengenai Kerjasama Serantau, Perdagangan Adil Di Mesyuarat APEC

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Mesyuarat Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) Ke-33 yang berlangsung di Shenzhen, China, pada 18 hingga 19 Nov 2026, menyediakan platform kepada Malaysia untuk menonjolkan kepentingan peluang ekonomi yang lebih adil dan kerjasama serantau yang kukuh, menurut ahli akademik.

Pengerusi Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Datuk Prof Mohd Faiz Abdullah berkata mesyuarat itu turut menekankan keperluan untuk memastikan ekonomi yang lebih kecil tidak ketinggalan dalam persaingan yang semakin sengit antara kuasa besar.

Menurutnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadiri Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC 2026 di Shenzhen menjelaskan bagaimana integrasi ekonomi serta aliran perdagangan dan pelaburan telah membantu mengubah bandar seperti Shenzhen dan Kuala Lumpur.

Ad Banner
Ad Banner

Bagaimanapun Perdana Menteri turut menegaskan bahawa faktor-faktor yang menyokong pertumbuhan itu tidak lagi boleh dianggap sesuatu yang akan sentiasa terjamin.

“Shenzhen dan Kuala Lumpur dibangunkan hasil kelebihan sumber air, dan kemudiannya perkembangan perdagangan. Bagaimanapun, saluran perdagangan tidak seharusnya hanya memberi manfaat kepada pihak yang mengawalnya.

“Keterbukaan bukan lagi sekadar berkaitan tarif dan akses pasaran. Ia juga melibatkan pihak yang memiliki teknologi, pihak yang mengawal rantaian bekalan dan pihak yang ketinggalan,” kata Mohd Faiz dalam kenyataan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurutnya Anwar turut menyeru supaya ekonomi yang lebih kecil dihormati dan dilayan secara sama rata selain diberikan kebebasan untuk menentukan hala tuju masing-masing tanpa ditentukan oleh kuasa besar.

Mohd Faiz berkata seruan Anwar ke arah “keterbukaan yang saksama” turut menekankan keperluan bagi negara-negara membangunkan keupayaan teknologi masing-masing dan meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai.

Menurutnya perkara ini amat penting dalam bidang kecerdasan buatan (AI), dengan akses kepada cip termaju dan kuasa pengkomputeran tidak seharusnya tertumpu kepada sebilangan kecil negara sahaja.

Anwar turut menekankan kepentingan China bekerjasama dengan negara-negara Asia Tenggara menerusi inovasi bersama dan penyelidikan bagi membantu membangunkan keupayaan teknologi mereka.

“Malaysia tidak berupaya membangunkan segala-galanya sendiri, dan pelaburan serta teknologi asing kekal penting.

“Namun, kerjasama ini juga seharusnya membantu jurutera dan perusahaan Malaysia membangunkan keupayaan sendiri. Diplomasi boleh membuka peluang itu. Kemahiran dan penyelidikan menentukan sama ada syarikat Malaysia dapat memanfaatkan peluang berkenaan,” katanya.

Strategi Semikonduktor Nasional Malaysia dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 bertujuan memperkukuh keupayaan negara dalam bidang pemasangan dan pengujian menerusi pembangunan reka bentuk cip, pembungkusan termaju serta syarikat tempatan di samping memanfaatkan pelaburan dan teknologi asing.

Anwar turut menggesa pendekatan terhadap AI dan keselamatan siber yang berteraskan etika, kerjasama perdagangan pelbagai hala yang lebih kukuh serta pengagihan manfaat ekonomi yang lebih adil kepada ekonomi membangun.

Mohd Faiz berkata 21 ekonomi anggota APEC yang merangkumi tiga kuasa besar dunia iaitu China, Amerika Syarikat dan Rusia membuat keputusan berasaskan konsensus dan komitmen secara sukarela, sekali gus menyebabkan persetujuan mengenai prinsip umum lebih mudah dicapai berbanding pelaksanaan tindakan yang konkrit.

Menurutnya inisiatif praktikal APEC seperti perdagangan tanpa kertas dan pemodenan prosedur kastam boleh membantu mengurangkan kos perniagaan serta memudahkan urusan perdagangan.

Malaysia juga mempunyai kepentingan yang besar dalam forum itu, dengan Visi Putrajaya 2040 yang diterima pakai semasa negara mempengerusikan APEC pada 2020, menetapkan matlamat untuk mewujudkan komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman.

“Bagi Malaysia, menarik diri daripada ekonomi dunia atau bergantung kepada satu kuasa sahaja bukanlah penyelesaian.

“Kepentingan negara memerlukan pasaran dan pelaburan daripada pelbagai rakan kerjasama serta kebebasan untuk membuat keputusan berdasarkan keperluan kita sendiri,” katanya.

-- BERNAMA