MN Holdings Raih Kontrak Sulung EPCC Solar Bernilai RM1.12 Bilion
KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- MN Holdings Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya, MN Utilities Engineering Sdn Bhd (MNUESB), memeterai kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM1.12 bilion.
Kontrak itu diraih melalui penglibatan MNUESB dalam sebuah konsortium untuk membangunkan dua kemudahan fotovoltaik solar berskala besar (LSS) di Kemaman, Terengganu
Projek itu akan dilaksanakan menerusi sebuah konsortium yang terdiri daripada MNUESB, China Railway 11th Bureau Group Electric Engineering Co Ltd (CRCC11GEE) dan DB Energy Sdn Bhd (DB Energy), dengan MNUESB bertindak sebagai peneraju projek.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MN Holdings memaklumkan kontrak itu akan bermula selepas menerima Notis untuk Memulakan Kerja atau Notis Terhad untuk Memulakan Kerja daripada pelanggan dan dijangka siap menjelang 2028.
Menurutnya, kontrak berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa depan dan aset bersih sesaham syarikat sebaik sahaja kerja-kerja bermula.
Sementara itu dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan kontrak berkenaan merupakan kejayaan MN Holdings dalam mendapatkan kontrak terbesar setakat ini dan penglibatan sulungnya untuk segmen LSS menerusi usaha niaga EPCC.
Kejayaan itu juga menandakan satu perkembangan penting dalam usaha kumpulan mengembangkan perniagaannya melangkaui bidang kejuruteraan utiliti bawah tanah dan pencawang yang menjadi teras perniagaannya selama ini.
Selain itu, menerusi perjanjian kontrak yang dimeterai dengan RE Kemaman Sdn Bhd dan RE Kemaman II Sdn Bhd, konsortium itu akan melaksanakan reka bentuk bersepadu, kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pengujian dan pentauliahan bagi dua kemudahan LSS dengan kapasiti eksport yang dipersetujui dalam kontrak masing-masing sebanyak 250 megawatt arus ulang-alik (MWac) dan 150MWac.
Ia menjadikan jumlah kapasiti kedua-dua kemudahan itu sebanyak 400MWac.
Skop kerja itu turut merangkumi kemudahan penyambungan grid berkaitan dan kerja-kerja lain di bawah Program LSS PETRA 5+.
Pihak pengurusan MN Holdings memaklumkan, dengan memanfaatkan kepakaran sedia ada dalam bidang utiliti bawah tanah dan infrastruktur tenaga voltan tinggi, projek itu membolehkan kumpulan mengembangkan keupayaannya ke dalam sektor tenaga boleh baharu serta memperluas penyertaannya dalam peralihan tenaga Malaysia.
“Dengan MNUESB menerajui konsortium itu, kami memberi tumpuan kepada usaha memastikan projek berkenaan dilaksanakan dengan jayanya, di samping membina rekod prestasi yang lebih kukuh dalam segmen EPCC solar,” tambahnya.
Pada masa depan, kumpulan itu berhasrat untuk terus giat meneroka peluang dalam projek tenaga boleh baharu dengan memanfaatkan keupayaan teknikal sedia ada dan pengalaman dalam pelaksanaan projek.
-- BERNAMA