BERITA TERKINI   Ismail teruskan khidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan atas titah Tuanku Muhriz | Bantuan Khas Perayaan Aidilfitri RM1,500 kepada penjawat awam negeri Pahang tahun depan - MB  | Bantuan Khas Kewangan dua bulan gaji kepada semua penjawat awam negeri Pahang tahun depan - MB | Perdagangan Malaysia meningkat 58 peratus kepada RM436.6 bilion pada Oktober 2026 disokong pertumbuhan kukuh eksport, import - DOSM | PM Anwar tiba di Rumah Tamu Negara Qilin Villa untuk pertemuan dua hala dengan Presiden Xi | 

KPF Dapatkan Khidmat Firma Guaman Di Arab Saudi Bagi Laksana Keputusan Timbang Tara RM172.94 Juta

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Bhd (KPF) dalam proses mendapatkan khidmat firma guaman tempatan di Arab Saudi bagi pelaksanaan keputusan timbang tara arbitrasi berjumlah RM172.94 juta yang memihak kepada koperasi itu dalam pertikaiannya dengan Al-Rawda.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memaklumkan keputusan timbang tara berjumlah 158.01 juta riyal Saudi (RM172.94 juta) itu diputuskan oleh GCC Commercial Arbitration Centre (GCCCAC) di Bahrain pada 3 Jun lepas.

Keputusan itu memberikan KPF hak untuk menuntut jumlah berkenaan tertakluk kepada proses pengiktirafan dan penguatkuasaan di Arab Saudi, menurut KUSKOP dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis.

Ad Banner
Ad Banner

“Pada masa ini, KPF dalam proses mendapatkan khidmat firma guaman tempatan (Arab Saudi) untuk pelaksanaan keputusan Timbang Tara Arbitrasi di Enforcement Court, Arab Saudi,” menurutnya.

Ia menjawab soalan Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai sama ada pinjaman kepada Al-Rawda selari dengan peruntukan Akta Koperasi 1993 dan Undang-Undang Kecil KPF serta status bayaran balik hutang tersebut oleh Al-Rawda.

Menurut KUSKOP, keseluruhan bayaran yang telah diterima hasil daripada pelaburan KPF dalam Al-Rawda berjumlah RM95.78 juta, merangkumi prinsipal sebanyak RM67.04 juta dan keuntungan RM28.74 juta.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Semakan dan maklumat terkini pada 30 Sept 2026 mendapati keseluruhan transaksi berkenaan merupakan pembiayaan menerusi Perjanjian Murabahah Komoditi (CMA), yang tidak selari dengan kelulusan pajakan yang diberikan.

“KPF melaksanakan transaksi itu atas nasihat pasukan perundangannya yang menyatakan bahawa warga atau entiti asing tidak dibenarkan memajak hartanah di Makkah melebihi tempoh dua tahun,” menurutnya.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menerusi surat bertarikh 16 Jun 2014 telah memberi kelulusan kepada KPF di bawah subseksyen 54(2) Akta Koperasi 1993 bagi cadangan pajakan Hotel Umm Al-Qura, Makkah daripada Al-Rawda berjumlah 160 juta riyal Saudi (RM137 juta) bagi tempoh 10 tahun.

Pada 28 Nov 2014, KPF memaklumkan perubahan terma dan syarat perjanjian pajakan menerusi surat rasmi kepada SKM.

Bagaimanapun, Al-Rawda telah memungkiri terma dan syarat perjanjian apabila gagal membuat bayaran mengikut jadual yang dipersetujui dan KPF telah memulakan tindakan undang-undang terhadap syarikat itu pada 30 Mei 2018.

Pelaburan Al-Rawda di Arab Saudi merupakan kerugian terbesar dalam senarai pelaburan bermasalah yang dihadapi Lembaga Tabung Haji.

– BERNAMA