BERITA TERKINI   Ismail teruskan khidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan atas titah Tuanku Muhriz | Bantuan Khas Perayaan Aidilfitri RM1,500 kepada penjawat awam negeri Pahang tahun depan - MB  | Bantuan Khas Kewangan dua bulan gaji kepada semua penjawat awam negeri Pahang tahun depan - MB | Perdagangan Malaysia meningkat 58 peratus kepada RM436.6 bilion pada Oktober 2026 disokong pertumbuhan kukuh eksport, import - DOSM | PM Anwar tiba di Rumah Tamu Negara Qilin Villa untuk pertemuan dua hala dengan Presiden Xi | 

Menteri APEC Gesa Pembaharuan WTO, Perkukuh Integrasi Perdagangan Serantau

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

SHENZHEN (China), 20 Nov (Bernama) -- Menteri-menteri Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menggesa pembaharuan yang bermakna dilaksanakan terhadap Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) bagi menambah baik fungsinya dan memastikan ia kekal relevan dan responsif terhadap kepentingan negara anggota dalam menghadapi cabaran perdagangan global yang semakin berkembang.

Dalam Kenyataan Bersama Menteri yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Menteri-Menteri APEC Ke-37, para menteri mengakui bahawa peraturan yang dipersetujui dalam WTO kekal penting bagi memudah cara perdagangan global dan menggalakkan negara anggota bekerjasama bagi menambah baik sistem perdagangan pelbagai hala.

Ad Banner
Ad Banner

“Kebuntuan yang berlaku pada Persidangan Menteri-Menteri WTO Ke-14 sekali lagi menunjukkan bahawa WTO berdepan cabaran dan memerlukan pembaharuan yang bermakna bagi menambah baik semua fungsinya selain menjadi lebih relevan dan responsif terhadap kepentingan negara anggotanya,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya menteri-menteri juga mengulangi komitmen untuk memajukan integrasi ekonomi di rantau Asia Pasifik berlandaskan pendekatan yang dipacu pasaran, termasuk menerusi agenda Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP) selain mengalu-alukan bidang kerjasama baharu merangkumi aspek perdagangan, tenaga kerja dan perusahaan milik negara.

“Kami mengakui manfaat pendigitalan untuk meningkatkan dan memudah cara perdagangan,” menurut kenyataan itu yang turut menekankan usaha mendigitalkan prosedur kastam, menggalakkan perdagangan tanpa kertas serta memudah cara pengiktirafan rentas sempadan bagi dokumen perdagangan elektronik untuk meningkatkan kecekapan dan memperkukuh daya tahan rantaian bekalan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mengenai kesalinghubungan serantau, menurut kenyataan itu, negara-negara anggota perlu terus memperkukuh hubungan fizikal, institusi dan hubungan antara rakyat selain meningkatkan kerjasama dalam pembangunan serta pelaburan infrastruktur yang berkualiti.

“Kami menekankan peranan penting pengangkutan dalam pertumbuhan ekonomi dengan memudahkan pergerakan barangan dan orang ramai,” menurut kenyataan itu.

Para menteri juga menggesa negara anggota mempercepat usaha memodenkan, menaik taraf dan mentransformasikan infrastruktur pengangkutan secara digital bagi menambah baik keselamatan, kecekapan, kebolehcapaian dan daya tahan.

Menurut kenyataan itu, menteri-menteri mengalu-alukan pelan hala tuju APEC bagi sektor perkhidmatan yang inovatif, berdaya saing dan berdaya tahan, yang akan menjadi panduan kepada usaha rantau ini sepanjang dekad akan datang dan pada masa sama menyokong usaha mengurangkan halangan yang tidak perlu dan memudah cara penyediaan perkhidmatan secara digital

Mengenai inovasi, kenyataan itu menekankan bahawa negara anggota perlu mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi penerimagunaan teknologi digital dan teknologi baharu untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan, daya tahan dan daya saing di seluruh rantau Asia Pasifik.

“Kami menggalakkan negara anggota menangani potensi risiko seperti pelanggaran data, penipuan dalam talian serta penyalahgunaan teknologi digital dan teknologi baharu yang disengajakan untuk tujuan berniat jahat,” menurut kenyataan itu yang turut menekankan kepentingan perlindungan data, privasi dan kepercayaan dalam transaksi digital.

Kenyataan itu turut menekankan kepentingan pembaharuan struktur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang dipacu inovasi, menerusi Agenda APEC yang Diperkukuh dan Dipertingkatkan bagi Reformasi Struktur (SEAASR) 2026-2030.

Para menteri turut menantikan penerbitan Laporan Dasar Ekonomi APEC 2026 mengenai pembaharuan struktur dan transformasi digital dipacu kecerdasan buatan (AI).

Dari segi daya tahan ekonomi, menurut kenyataan itu, menteri-menteri mengetengahkan kepentingan rangka kerja dasar fiskal, monetari dan kewangan yang boleh dipercayai serta fleksibel bagi menguruskan kejutan, mengekalkan kestabilan makroekonomi dan menangani kelemahan dalam jangka sederhana.

“Kami menggalakkan pengukuhan keselamatan tenaga menerusi kerjasama dalam daya tahan rantaian bekalan, perhubungan infrastruktur rentas sempadan yang selamat serta penilaian risiko,” menurut kenyataan itu.

Mengenai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menurut kenyataan itu, sektor berkenaan kekal sebagai asas penting ekonomi serantau yang menyumbang kepada peluang pekerjaan, inovasi, perdagangan dan pertumbuhan ekonomi.

Menurutnya pada masa yang sama, usaha perlu dipertingkatkan bagi meringankan beban kawal selia dan pematuhan serta memperluas akses kepada penyelesaian digital, pembiayaan dan rantaian nilai global.

“Kami menyokong pengintegrasian kemahiran digital dan teknikal bagi memastikan pekerja bersedia untuk mengisi pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi,” menurut kenyataan itu.

Turut ditekankan dalam kenyataan itu adalah kepentingan latihan semula, menambah kemahiran, pembelajaran sepanjang hayat serta usaha untuk memastikan pekerja mampu menyesuaikan diri dengan perubahan permintaan pasaran buruh.

Para menteri juga mengesahkan semula komitmen mereka untuk memperkukuh APEC sebagai forum utama kerjasama ekonomi di rantau ini selain menyambut baik persiapan Vietnam sebagai tuan rumah APEC 2027 dan Mexico sebagai tuan rumah APEC 2028.

-- BERNAMA