MBSB IB Kekal Saranan Positif Terhadap YTL Corp Susulan Pendedahan Kepada Pusat Data, AI
KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) terus memilih YTL Corporation Bhd (YTL Corp) kerana pendedahannya kepada ekosistem pusat data dan kecerdasan buatan (AI) yang sedang berkembang menerusi YTL Power International Bhd (YTL Power), selain pelbagai perniagaan infrastruktur serta bahan binaan.
Menurut bank pelaburan itu, pemangkin berpotensi lain termasuk memenangi kontrak pembinaan tambahan, permintaan simen yang lebih kukuh, penyerahan kapasiti pusat data yang progresif dan pembangunan berterusan dalam perniagaan berkaitan AI syarikat itu.
“Kami mengekalkan saranan ‘belian’ kami ke atas YTL Corp dengan harga sasaran (TP) yang disemak semula, yang diperoleh menerusi kaedah penilaian jumlah bahagian-bahagian (SOTP) sebanyak RM3.24, berbanding RM3.51 sebelum ini, selepas mengambil kira harga sasaran baharu bagi Malayan Cement Bhd, YTL Hospitality Real Estate Investment Trust dan Starhill Global Real Estate Investment Trust,” menurut bank tersebut dalam satu nota.
MBSB IB turut menyatakan bahawa permintaan terhadap simen dan bahan binaan YTL Corp dijangka kekal berdaya saing, manakala inisiatif penjimatan kos, termasuk pemulihan haba buangan dan penggunaan bahan api alternatif, diharap dapat membantu mengurangkan tekanan terhadap margin.
Sementara itu, CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGS International) memaklumkan bahawa ia telah menurunkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2027 (TK2027) dan TK2028 bagi YTL Power, serta harga sasarannya (TP), tetapi mengekalkan saranan ‘tambah’ memandangkan nilai yang besar pada perniagaan kumpulan itu yang tidak disenaraikan.
“Kami menurunkan unjuran pendapatan sesaham bagi TK2027/TK2028 sebanyak 1.6 peratus dan 2.6 peratus berikutan perubahan dalam pendapatan kami bagi YTL Power, sambil mengambil kira kemas kini daripada laporan tahunan TK2026.
“Harga sasaran kami dikurangkan kepada RM2.87 (diskaun 10 peratus berbanding kadar standard), merangkumi harga sasaran baharu untuk Malayan Cement dan YTL Power,” jelas syarikat itu.
Selain itu, CGS International menyatakan bahawa perolehan sektor utiliti yang lebih lemah dan kelewatan dalam penganugerahan kontrak merupakan risiko penurunan.
“Penganugerahan projek infrastruktur utama yang lebih pantas boleh membawa kepada penilaian semula saham tersebut,” jelas CGS International.
Mengenai perkara berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), ia menyatakan bahawa perkembangan inisiatif infrastruktur baharu Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) membolehkan kerajaan menyusun semula projek rel mega baharu sebagai ‘infrastruktur hijau’.
“Ini akan membuka peluang kepada YTL Corp untuk mengembangkan nilai perolehan kontrak dalam tangan domestiknya.
“Projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dicadangkan kini berada pada peringkat ‘Permintaan untuk Maklumat’ dan pada pandangan kami ia mungkin akan dihidupkan semula.
“Jika ia menjadi kenyataan, penilaian terhadap YTL Corp mungkin memerlukan penyesuaian semula, selain rekod prestasi syarikat dalam projek kereta api yang melengkapi konsesi Express Rail Link sedia ada akan memberikannya kelebihan dalam proses tender,” katanya.
-- BERNAMA