BERITA TERKINI   Liga Super: Negeri Sembilan FC 0-2 Kuching City FC | Ismail Lasim ikrar pertahan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah | 

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Pada Akhir Minggu Susulan Tekanan Jualan Saham Wajaran Tinggi

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan minggu ini dengan ditutup rendah berikutan tekanan jualan berterusan terhadap beberapa saham wajaran tinggi, khususnya kaunter berkaitan pusat data.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.65 mata atau 0.61 peratus kepada 1,556.51 daripada paras 1,566.16 ketika ditutup pada Khamis.

Ad Banner
Ad Banner

Indeks penanda aras itu dibuka 9.24 mata lebih rendah pada 1,556.92 dan bergerak antara 1,548.67 hingga 1,559.11 sepanjang sesi dagangan.

Sentimen pasaran kekal negatif apabila 837 kaunter rugi mengatasi 325 kaunter untung, manakala 444 kaunter tidak berubah, 1,234 tidak diniagakan dan 32 digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.64 bilion unit bernilai RM2.99 bilion daripada 3.06 bilion unit bernilai RM2.76 bilion pada Khamis.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI terus mencatatkan aliran menurun apabila tekanan jualan berterusan susulan penurunan pasaran ekuiti global menjejaskan sentimen pelabur.

“Bagi pasaran tempatan, kami kekal berhati-hati memandangkan jualan berterusan terhadap beberapa saham wajaran tinggi menunjukkan keyakinan pelabur masih belum pulih, khususnya terhadap kaunter berkaitan pusat data.

“Bagaimanapun, indeks penanda aras telah memasuki zon terlebih jual, sekali gus berpotensi menggalakkan aktiviti pembelian terpilih ketika harga rendah,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut enam sen kepada RM9.87, Public Bank turun tiga sen kepada RM4.49, manakala CIMB meningkat dua sen kepada RM7.04 dan Tenaga Nasional menambah lapan sen kepada RM12.68. IHH Healthcare tidak berubah pada RM7.90.

Dalam dagangan aktif, Dagang NeXchange menambah tiga sen kepada 42 sen, MMAG naik setengah sen kepada 1.5 sen, manakala Big Caring susut satu sen kepada RM1.08. Zetrix AI dan MAG Holdings tidak berubah masing-masing pada 5.5 sen dan 16 sen.

Antara saham paling untung, Allianz Malaysia dan Petronas Dagangan masing-masing meningkat 12 sen kepada RM19.00 dan RM19.38, Guan Chong melonjak 11 sen kepada RM1.53, Life Water Bhd menambah lapan sen kepada RM1.58, manakala Kim Hin naik 6.5 sen kepada 84 sen.

Sementara itu, Malaysian Pacific Industries mendahului senarai saham paling rugi apabila susut RM2.74 kepada RM33.76, diikuti ViTrox yang turun 59 sen kepada RM8.72, Sunway Construction susut 58 sen kepada RM6.92, Press Metal Aluminium merosot 42 sen kepada RM6.27 dan UWC turun 40 sen kepada RM5.43.

Dalam pasaran lebih luas, Indeks FBM Emas susut 111.27 mata kepada 11,491.86, Indeks FBM Top 100 merosot 104.16 mata kepada 11,340.82, manakala Indeks FBM ACE berkurangan 92.70 mata kepada 4,818.81.

Indeks FBM Emas Syariah turun 155.38 mata kepada 11,399.24, manakala Indeks FBM Mid 70 merosot 292.11 mata kepada 16,279.83.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 50.08 mata kepada 18,303.40, Indeks Perladangan turun 64.04 mata kepada 8,687.76, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 3.91 mata kepada 160.22.

Indeks Tenaga pula merosot 17.86 mata kepada 739.32.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.46 bilion unit bernilai RM2.17 bilion daripada 1.81 bilion unit bernilai RM2.62 bilion semalam.

 Jumlah dagangan waran meningkat sedikit kepada 972.65 juta unit bernilai RM124.68 juta daripada 972.11 juta unit bernilai RM139.80 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 460.48 juta unit bernilai RM164.93 juta daripada 860.62 juta unit bernilai RM226.62 juta pada Khamis.

Sementara itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 247.77 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, disusuli produk dan perkhidmatan perindustrian (269.22 juta), pembinaan (102.80 juta), teknologi (325.02 juta), perkhidmatan kewangan (87.08 juta), hartanah (76.98 juta), perladangan (21.88 juta), amanah pelaburan hartanah (13.25 juta), dana tertutup (57,500), tenaga (90.57 juta), penjagaan kesihatan (82.00 juta), telekomunikasi dan media (49.63 juta), pengangkutan dan logistik (39.65 juta), utiliti (55.03 juta) serta amanah perniagaan (100).

-- BERNAMA