BERITA TERKINI   Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal dimasyhur sebagai Canselor UniKL baharu menggantikan Sultan Pahang | Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan sempena Majlis Konvokesyen ke-23 UniKL | 

Pasaran Getah Dijangka Cenderung Meningkat Minggu Depan Susulan Pemulihan Harga

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur dijangka diniagakan dengan berhati-hati, tetapi cenderung untuk meningkat apabila harga pulih daripada penurunan minggu lepas.

Pakar industri Denis Low berkata persiapan untuk menghadapi musim tengkujuh yang dijangka berlarutan sehingga Januari telah mendorong aktiviti penyimpanan stok secara besar-besaran.

Ad Banner

Bagaimanapun, beliau berkata pasaran kekal seimbang berikutan keadaan penuaian yang menggalakkan sebelum ini telah membantu menstabilkan paras stok.

“Dalam apa jua situasi, ia bergantung pada sejauh mana seriusnya musim tengkujuh, tetapi bekalan dan permintaan masih terkawal buat masa ini, sekali gus memastikan pasaran kekal stabil dalam keadaan berhati-hati.

“Kami menjangkakan pasaran getah kekal berhati-hati, dengan beberapa aktiviti spekulatif. Aktiviti pembelian dijangka tertumpu terutamanya kepada penambahan semula stok,” kata Low kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner

Dalam perkembangan yang sama, beliau memberitahu Jabatan Meteorologi Thailand telah mengeluarkan amaran hujan lebat hingga sangat lebat di seluruh selatan Thailand, dengan risiko banjir kilat, limpahan air sungai dan tanah runtuh.

Di Malaysia pula, Low berkata hujan yang lebih kerap dijangka berlaku menjelang peralihan daripada air pasang mati kepada air pasang besar pada minggu depan. Gabungan hujan lebat dan air pasang berpotensi memburukkan lagi keadaan banjir.

Sementara itu, Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) memaklumkan pasaran getah mungkin diniagakan rendah minggu depan, dipengaruhi oleh bekalan getah yang tinggi dari Thailand yang berkemungkinan menekan harga getah.

“Ditambah pula dengan tekanan inflasi di Amerika Syarikat dan kemungkinan kenaikan kadar faedah, keadaan ini akan menjejaskan sentimen pasaran.

“Ketegangan geopolitik yang berterusan di Asia Barat turut menambah tekanan terhadap prospek aktiviti ekonomi yang lemah,” tambahnya.

Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) susut 47.5 sen kepada 967.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun 18.5 sen kepada 756.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA