BERITA TERKINI   KLCC Property Holdings Bhd catat keuntungan bersih RM203.87 juta pada Suku Ketiga Tahun Kewangan 2026 | MySiren tidak ada akses kepada data peribadi peranti pengguna - Fahmi | Fahmi lancar Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren), perkukuh penyampaian amaran kecemasan kepada orang ramai | Ujian Sistem Amaran Nasional (MySiren) akan dilakukan pada 10.10 pagi 29 Nov ini - Fahmi | PRN Sarawak: Penyandang kerusi DUN Engkilili, Dr Johnichal Rayong Ngipa umum keluar parti PDP berkuat kuasa semalam | 

EMPG Group Dijangka Raih RM34.05 Juta Daripada Ipo Menjelang Penyenaraian Di Pasaran ACE

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- EMPG Group Bhd (EMPG Group) dijangka meraih kira-kira RM34.05 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Secutiries Bhd (Bursa Malaysia) yang dijadualkan pada 21 Disember 2026. 

Menurut prospektus yang dikemukakan kepada Bursa Malaysia hari ini, peruncit dan pemborong pakaian itu merancang untuk menggunakan sebanyak RM25 juta atau 73.43 peratus daripada hasil IPO untuk mengembangkan rangkaian peruncitannya dalam tempoh 24 bulan selepas penyenaraian. 

“Sebanyak RM4.34 juta lagi yang mewakili 12.77 peratus daripada hasil itu akan diperuntukkan untuk keperluan modal kerja, manakala baki sebanyak RM4.70 juta atau 13.80 peratus akan digunakan untuk membiayai anggaran perbelanjaan penyenaraian,” menurut syarikat itu.

Ad Banner

IPO itu melibatkan sehingga 170.10 juta saham, merangkumi terbitan awam sebanyak 121.60 juta saham baharu dan tawaran penjualan sehingga 48.50 juta saham sedia ada. 

“Mengenai terbitan awam, sebanyak 30.30 juta saham akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia menerusi kaedah pengundian, 4.30 juta saham kepada individu yang layak, 75.75 juta saham kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala 11.24 juta saham kepada pelabur terpilih menerusi penempatan persendirian. 

“Sementara itu, sehingga 48.50 juta saham sedia ada akan ditawarkan kepada pelabur terpilih menerusi penempatan persendirian,” jelas syarikat itu lagi.

Ad Banner
Ad Banner

Pada harga IPO sebanyak 28 sen sesaham, EMPG Group dijangka mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM169.68 juta semasa penyenaraiannya, iaitu berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 606 juta saham. 

Permohonan bagi terbitan awam dibuka pada 10 pagi hari ini dan akan ditutup pada pukul 5 petang, 2 Disember 2026. 

Berjaya Securities Sdn Bhd adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO tersebut, manakala WYNCORP Advisory Sdn Bhd pula merupakan penasihat kewangan korporat.

-- BERNAMA