BERITA TERKINI   Tiada kontrak, persetujuan atau komitmen untuk memberi sokongan pembiayaan kepada AirAsia yang telah dibuat oleh pihak kerajaan – Amir Hamzah | Ketersambungan udara, khususnya ke Sabah dan Sarawak, kekal menjadi keutamaan kerajaan dengan mengambil kira kebergantungan sebahagian besar perkhidmatan penerbangan di kedua-dua negeri itu kepada AirAsia – Amir Hamzah | Kerajaan sentiasa pantau kesan krisis Asia Barat, harga bahan api global serta pergerakan mata wang terhadap syarikat penerbangan serta kesambungan udara bagi rakyat – Amir Hamzah | Kadar residivisme atau pengulangan jenayah dalam kalangan bekas banduan di Malaysia catat 11 peratus - Saifuddin | KDN bentang laporan penuh kes dadah melibatkan pegawai TUDM kepada Jemaah Menteri esok - Saifuddin | 

Allianz Malaysia Lancar Allianz Eterna Untuk Golongan Individu Bernilai Bersih Tinggi

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Allianz Malaysia Bhd melancarkan Allianz Eterna, satu penyelesaian pengurusan kekayaan dan perlindungan yang menyasarkan golongan individu bernilai bersih tinggi (HNWI).

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life Insurance Malaysia Bhd Giulio Slavich berkata Allianz Eterna dibangunkan bagi memenuhi keperluan kewangan golongan berpendapatan tinggi dan keluarga yang semakin berubah, khususnya mereka yang mempunyai aset, pelaburan dan kepentingan keluarga di beberapa negara.

“Bayangkan seorang pemilik perniagaan dari Malaysia yang mengendalikan sebuah syarikat berjaya di Kuala Lumpur, mempunyai anak-anak yang melanjutkan pengajian di London serta pelaburan di Singapura. Malaysia merupakan tempat tinggalnya, namun kehidupan keluarganya merentasi sempadan negara.

Ad Banner

“Bagi individu sepertinya, perancangan kewangan bukan sekadar mengembangkan kekayaan tetapi turut merangkumi perlindungan masa depan keluarga serta menentukan bagaimana kekayaan itu harus diwariskan. Inilah sebabnya kami memperkenalkan Allianz Eterna,” katanya pada majlis pelancaran produk berkenaan di sini hari ini.

Menurut beliau, penyelesaian itu berteraskan empat bidang utama iaitu pemeliharaan dan perlindungan kekayaan, perancangan legasi dan pewarisan, penyelesaian rentas sempadan dan pelbagai bidang kuasa serta khidmat nasihat dan perkhidmatan yang diperibadikan.

Produk pertama yang ditawarkan di bawah Allianz Eterna ialah Horizon Infinite iaitu pelan insurans hayat universal terindeks berdenominasi mata wang asing yang direka untuk perancangan legasi dengan tempoh pembayaran premium terhad.

Ad Banner
Ad Banner

Pelan itu membolehkan pemegang polisi menikmati keuntungan pasaran selain dilindungi daripada kerugian pasaran menerusi kadar lantai sifar peratus bagi Akaun Indeks.

Ia terbuka kepada individu yang berusia sehingga 80 tahun dan menyokong usaha pemeliharaan kekayaan serta perancangan legasi antara generasi.

Pelanggan Allianz Eterna turut akan menikmati akses kepada perkhidmatan tambahan termasuk pegawai khidmat pelanggan khusus, pemeriksaan kesihatan perubatan tetamu kenamaan (VIP), insurans perjalanan antarabangsa dan pengalaman gaya hidup eksklusif.

Slavich memaklumkan, Allianz Eterna menggabungkan keupayaan insurans domestik Allianz Malaysia dengan keupayaan luar pesisir Allianz Labuan yang ditubuhkan di Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa 1 Okt, 2026.

Ia bagi menyediakan penyelesaian insurans hayat untuk segmen HNWI di Malaysia termasuk produk berdenominasi mata wang asing.

“Kami membuat keputusan secara strategik untuk menubuhkan entiti sendiri di Labuan kerana kami percaya peluang dalam pasaran ini cukup besar untuk membolehkan kami melabur dalam membina kehadiran sendiri,” katanya.

Beliau menyatakan, jumlah kekayaan gabungan 50 individu terkaya di Malaysia mencecah US$116 bilion (US$1=RM4.11) tahun ini, meningkat hampir 30 peratus manakala populasi individu yang mempunyai kekayaan amat tinggi di negara ini dijangka berkembang lebih 20 peratus dalam tempoh 2026 hingga 2031.

Slavich memberitahu, pelaburan langsung Malaysia di luar negara juga berjumlah hampir RM640 bilion setakat suku ketiga 2026, mencerminkan jejak perniagaan antarabangsa yang semakin meluas dalam kalangan syarikat Malaysia dan pemiliknya.

“Ini mencerminkan kehadiran perniagaan Malaysia di peringkat antarabangsa yang semakin meluas dengan pelaburan dan operasi merentasi pelbagai pasaran selain keperluan kewangan pemilik perniagaan yang semakin melangkaui sempadan Malaysia.

“Sebagai syarikat insurans, kami perlu memahami hala tuju pelanggan kami bukannya hanya memberi tumpuan kepada kedudukan mereka pada masa ini,” tambah beliau.

Beliau berkata, penawaran Allianz Eterna akan diperluas melangkaui Horizon Infinite dengan potensi memperkenalkan produk yang merangkumi penyelesaian pelbagai mata wang, pilihan pertumbuhan kekayaan yang fleksibel, perancangan legasi dan pewarisan serta perlindungan pendapatan.

Penyelesaian Allianz Eterna akan dipasarkan menerusi rakan kongsi bancassurance, broker antarabangsa dan penasihat kewangan bebas.

-- BERNAMA