BERITA TERKINI   Hubungan diplomatik baik Malaysia-Myanmar penting untuk selesai isu berkaitan rakyatnya di negara ini - PM Anwar | Malaysia utamakan pendekatan diplomasi tangani isu berkaitan Laut China Selatan - PM Anwar | Dasar Keselamatan Negara 2026-2030 dilancarkan untuk kesiapsiagaan negara hadapi ancaman baharu - PM Anwar | Tiada kontrak, persetujuan atau komitmen untuk memberi sokongan pembiayaan kepada AirAsia yang telah dibuat oleh pihak kerajaan – Amir Hamzah | Ketersambungan udara, khususnya ke Sabah dan Sarawak, kekal menjadi keutamaan kerajaan dengan mengambil kira kebergantungan sebahagian besar perkhidmatan penerbangan di kedua-dua negeri itu kepada AirAsia – Amir Hamzah | 

HDC Sasar Eksport Halal Cecah RM70 Bilion Menjelang 2027 -- CEO

Oleh Nurul Hanis Izmir

PUTRAJAYA, 26 Nov (Bernama) -- Halal Development Corporation Bhd (HDC) menyasarkan eksport halal negara mencecah RM70 bilion menjelang 2027 iaitu peningkatan daripada sasaran RM69 bilion bagi 2026, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Hanisofian Alias.

Beliau berkata ini dijangka menyaksikan diplomasi halal berperanan lebih besar dalam membuka pasaran baharu selain meraih teknologi, pelaburan dan kerjasama strategik bagi kalangan pemain industri Malaysia.

Ad Banner

Pada masa sama, katanya, Malaysia perlu memanfaatkan aspek diplomasi halal bagi meraih manfaat ekonomi yang lebih konkrit, selaras dengan usaha negara untuk terus memperluas eksport halal melangkaui angka RM68.52 bilion yang dicatatkan pada tahun lepas.

Menurutnya, sasaran Malaysia bagi eksport halal melebihi RM80 bilion menjelang 2030 juga memerlukan kerjasama antarabangsa dalam sektor halal untuk melangkaui perkongsian ilmu dan menghasilkan manfaat yang lebih ketara kepada negara.

Ini penting memandangkan eksport halal Malaysia mencatat perkembangan ketara daripada kira-kira RM8 bilion pada 2006 iaitu ketika HDC ditubuhkan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), kepada RM68.52 bilion pada 2025.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau juga menyifatkan penubuhan HDC sebagai anjakan persepsi terhadap industri halal yang sebelum ini dilabelkan sebagai urusan pematuhan agama kepada alat atau pemacu pertumbuhan ekonomi.

“Bagaimanapun, Malaysia kini bukan satu-satunya negara yang memajukan industri halal. Negara-negara lain turut bertindak merancakkan usaha masing-masing bagi mengembangkan sektor halal, malah ada yang melangkah lebih pantas berbanding kita. Korea Selatan dan Jepun misalnya, terbukti memaparkan perkembangan ketara.

“Ada banyak negara yang bertindak mendekati Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan kerjasama dalam bidang halal. Kita juga tahu mengenai kerjasama di sana sini, tetapi apakah yang sebenarnya kita mahu usahakan,” katanya kepada Bernama di luar sesi Perbincangan Meja Bulat: Ulang Tahun Ke-10 penubuhan Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini.

 

HDC teliti semula kerangka diplomasi halal 

 

Menjelaskan selanjutnya, Hanisofian berkata HDC sedang meneliti semula kerangka diplomasi halal agensi itu bagi memastikan kerjasama antarabangsa mampu memberikan manfaat ketara untuk Malaysia, khususnya dari segi akses pasaran, teknologi, pelaburan dan kepakaran.

Beliau yang baharu dilantik menerajui HDC itu turut menegaskan pendekatan terbabit perlu berteraskan situasi yang saling menguntungkan dengan setiap negara memanfaatkan kekuatan masing-masing bagi melengkapi kemampuan negara ini.

“Sesebuah negara itu berkemungkinan mendapat pengetahuan daripada kita, namun pada masa sama kita juga mungkin meraih teknologi, akses pasaran dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut merujuk kerjasama dengan Singapura yang merangkumi kepakaran republik itu dalam pembangunan taman perindustrian yang sebaliknya boleh digabungkan dengan kekuatan Malaysia dalam pensijilan halal bagi meneroka peluang secara bersama di pasaran lain.

“Menerusi langkah memanfaatkan nilai-nilai yang saling melengkapi ini, kita berusaha untuk membawa kepakaran Singapura dalam pembangunan taman perindustrian manakala Malaysia menyediakan keupayaan dalam aspek pensijilan halal. Ini membolehkan kedua-dua negara menembusi pasaran lain.

“Inilah model diplomasi halal...namun tidak boleh digunapakai untuk setiap negara yang memerlukan pendekatan berbeza,” katanya.

Hanisofian menekankan pendekatan terbabit penting ketika semakin banyak negara memaparkan minat dalam membangunkan industri halal masing-masing, sekali gus mewujudkan persaingan lebih sengit untuk Malaysia.

Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia perlu kekal terbuka kepada kerjasama antarabangsa dan pada masa sama memastikan minat serta daya saing industri halal domestik sentiasa dilindungi.

“Jika tidak, pihak asing akan datang menimba ilmu daripada kita namun kita tidak memperoleh apa-apa. Oleh itu, ini amat penting...bukan mengenai menghentikan kerjasama, tetapi turut melindungi industri kita juga,” katanya.

Beliau juga menganggap sebarang kerjasama antarabangsa yang strategik dapat membantu Malaysia mendapat akses ke pasaran baharu selain membolehkan pemain industri tempatan mendapatkan teknologi dan kepakaran diperlukan untuk mengembangkan perniagaan.

 

Memperkukuh ekosistem 

 

Hanisofian berkata fasa pembangunan HDC seterusnya adalah menumpukan usaha memperkukuh aspek ekosistem halal menerusi pendigitalan, pembangunan rantaian bekalan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), kelestarian serta diplomasi ekonomi.

Langkah itu termasuk pembangunan platform halal bersepadu berteraskan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), rantaian blok (blockchain), kebolehkesanan dan analisis data selain memperkukuh penyelarasan antara agensi terlibat dalam aspek bimbingan serta penguatkuasaan.

HDC juga, katanya, berhasrat memperkukuh rantaian bekalan halal serta keupayaan R&D, termasuk pembangunan dan pengkomersialan ramuan halal khusus dan pada masa sama turut menyokong syarikat peneraju halal tempatan.

Hanisofian menegaskan prinsip halal dan alam sekitar, sosial serta tadbir urus (ESG) boleh dijalinkan secara lebih erat dengan elemen halal menjadi nilai tambah bagi produk yang bersih, selamat, beretika dan mesra alam.

“Semua usaha ini dapat membantu Malaysia melangkaui kekuatan tradisi dalam pensijilan halal, sekali gus memperkukuh kedudukan negara dalam keseluruhan rantaian bekalan di samping memacu inovasi digital dan pertumbuhan yang mampan,” katanya.

Pada masa ini, eksport halal Malaysia merangkumi produk makanan dan minuman yang menyumbang sebanyak 54 peratus, bahan ramuan (31 peratus), produk hiliran minyak sawit (7.0 peratus), kosmetik (5.0 peratus), farmaseutikal (2.0 peratus) dan bahan kimia industri (1.0 peratus).

Beliau berkata diplomasi halal Malaysia pada akhirnya dapat memperkukuh kedudukan negara sebagai hab halal global serta pusat graviti atau tumpuan utama dalam ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pasaran global yang lebih meluas.

Dalam pada itu, kejayaan industri halal negara turut digerakkan oleh Allahyarham Tun Abdullah sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima pada 2003 hingga 2009 yang berperanan penting meletakkan sektor halal sebagai sektor ekonomi strategik negara.

Pentadbiran beliau turut mempromosikan Malaysia sebagai hab halal global menerusi pelbagai inisiatif, termasuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) selain usaha memperkukuh piawaian dan pensijilan halal, pembangunan industri serta akses ke pasaran antarabangsa.

Antara legasi Abdullah adalah penubuhan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) pada 2006 bagi menyelaras dan memacu pembangunan industri halal Malaysia agar tidak sekadar menumpukan aspek pensijilan, malah turut merangkumi pelaburan, penjenamaan, pembangunan modal insan, Taman Halal serta perdagangan global.

Visi Allahyarham juga bagi memanfaatkan kepakaran dan kewibawaan Malaysia dalam bidang halal untuk merebut peluang besar dalam pasaran halal global.

-- BERNAMA