Pengurusan Kewangan Berhemat Pastikan Komitmen Negara Dilunas Tanpa Jejas Keperluan Rakyat - PM Anwar
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Pengurusan kewangan negara yang berhemat amat penting bagi memastikan komitmen sedia ada dapat dilunaskan dengan baik tanpa menjejaskan keupayaan kerajaan menyediakan bantuan dan kemudahan yang diperlukan rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perlu memastikan tanggungjawab kewangan terhadap institusi terbabit diselesaikan secara teratur dan bertanggungjawab.
“Langkah ini penting bagi memelihara kedudukan kewangan negara serta memastikan kelangsungan operasi institusi dalam melaksanakan peranannya membantu golongan usahawan.
“Pengurusan kewangan yang tersusun dan berdisiplin membolehkan sumber negara dimanfaatkan dengan lebih berkesan, khususnya dalam menyokong usaha pemulihan dan pembangunan usahawan,” kata beliau menerusi hantaran di laman X, hari ini.
Anwar berkata dalam masa yang sama, institusi terbabit perlu terus berupaya menyediakan sokongan yang diperlukan agar usahawan dapat bangkit, memperkukuh perniagaan dan meneruskan aktiviti ekonomi.
Katanya perkara itu ditekankan oleh beliau sewaktu merasmikan Skim Usahawan Bangkit MADANI Terengganu.
Beliau berkata keseimbangan antara menyelesaikan komitmen sedia ada dengan memenuhi keperluan rakyat perlu terus dipelihara, supaya pengurusan kewangan negara kekal mampan dan manfaatnya dapat dirasai secara berterusan.
-- BERNAMA