BERITA TERKINI   Stesen janakuasa setempat Tawau berjaya salurkan bekalan, manakala di Sandakan sedang dipulihkan - Sabah Electricity | Stesen janakuasa setempat digunakan bagi percepat pemulihan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah - Sabah Electricity | Bekas Undang Luak Sungei Ujong Mubarak Thahak akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban esok atas tuduhan menghasut | Dua beradik maut, seorang lagi cedera selepas motosikal terbabas di Tendong, Pasir Mas – Polis | Gangguan bekalan elektrik: Lapangan Terbang Tawau, Sandakan dan Lahad Datu beroperasi seperti biasa dengan penggunaan generator - Malaysia Airports | 

Penilaian AS Ke Atas Lebihan Kapasiti Pembuatan Malaysia Perlu Berasaskan Bukti - FMM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Sebarang penilaian oleh Amerika Syarikat (AS) mengenai lebihan kapasiti struktur dalam sektor pembuatan Malaysia perlu disertai dengan bukti yang boleh dipercayai, telus dan khusus industri, menurut Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok berkata prestasi eksport Malaysia dan sokongan kerajaan sahaja tidak boleh dianggap sebagai bukti lebihan kapasiti pengeluaran atau amalan perdagangan yang tidak adil.

“Tarif berasaskan risiko yang meluas akan menghukum pengilang yang sah tanpa mengira pelaburan dan amalan pengeluaran mereka.

Ad Banner

“Tarif selanjutnya boleh menghakis margin keuntungan, melemahkan daya saing eksport, mengakibatkan kehilangan pesanan dan menyebabkan pelanggan mengalih pengaturan penyumberan mereka, selain menyebabkan pengilang menangguhkan pelaburan mereka,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) mencadangkan tarif tambahan sehingga 18 peratus ke atas barangan Malaysia pada 25 Nov dengan memetik penemuan bahawa dasar perindustrian dan amalan pembuatan Malaysia menyumbang kepada lebihan kapasiti struktur, yang menurut Washington memberi kesan buruk kepada perdagangan AS.

Malaysia adalah antara 14 ekonomi yang menghadapi cadangan tarif di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, bersama China, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Jepun dan Kesatuan Eropah, dengan kadar cadangan antara 15 hingga 35 peratus.

Ad Banner
Ad Banner

Lee berkata kejayaan sesebuah negara dalam mengembangkan sektor pembuatannya, menarik pelaburan dan eksport yang semakin meningkat tidak seharusnya dilihat sebagai bukti amalan perdagangan yang tidak adil tanpa mewujudkan hubungan langsung antara polisi, kapasiti pengeluaran yang berlebihan dan kemudaratan kepada rakan dagang.

“Prestasi eksport Malaysia mahupun kewujudan sokongan kerajaan tidak boleh, secara berasingan, membuktikan bahawa kapasiti pengeluarannya adalah berlebihan atau daya saingnya dicapai melalui amalan perdagangan yang tidak saksama,” katanya. 

Lee menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), untuk mempergiatkan penglibatan dengan AS bagi mencabar asas penemuan, meminimumkan pendedahan tarif selanjutnya dan melindungi akses pasaran di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART).

“Rundingan Malaysia mesti disokong oleh bukti konkrit sejauh mana pembiayaan sektor swasta, bantuan kewangan kerajaan sebenar yang diterima oleh pengilang dan pertimbangan komersil memacu keputusan pelaburan serta pengeluaran,” katanya.

Lee juga meminta kerajaan untuk menyegerakan pelaksanaan Bahagian XA Akta Kastam 1967 bagi mengukuhkan penguatkuasaan terhadap salah nyata asal Malaysia dan memastikan pengilang tulen tidak dikenakan penalti disebabkan amalan perdagangan yang tidak telus.

FMM akan menjalankan penilaian industri dan bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk menangani penemuan khusus USTR.

“FMM akan membuat penyerahan rasmi semasa proses ulasan awam USTR, disokong oleh bukti industri dan analisis undang-undang, untuk memastikan realiti komersial sektor pembuatan Malaysia telah diwakili dengan tepat dan dinilai secara adil,” kata Lee.

-- BERNAMA