BERITA TERKINI   Stesen janakuasa setempat Tawau berjaya salurkan bekalan, manakala di Sandakan sedang dipulihkan - Sabah Electricity | Stesen janakuasa setempat digunakan bagi percepat pemulihan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah - Sabah Electricity | Bekas Undang Luak Sungei Ujong Mubarak Thahak akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban esok atas tuduhan menghasut | Dua beradik maut, seorang lagi cedera selepas motosikal terbabas di Tendong, Pasir Mas – Polis | Gangguan bekalan elektrik: Lapangan Terbang Tawau, Sandakan dan Lahad Datu beroperasi seperti biasa dengan penggunaan generator - Malaysia Airports | 

Insentif Pelaburan Di JS-SEZ Disasar Bawa Limpahan Ekonomi Kepada Rakyat Tempatan - Exco

ISKANDAR PUTERI, 26 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor mahu memastikan insentif pelaburan di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) membawa limpahan ekonomi secara langsung kepada rakyat tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han berkata ini termasuk melalui penyediaan pekerjaan berkualiti dan peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyertai rantaian bekalan pelabur.

Beliau berkata saranan agar syarikat yang menerima insentif di bawah JS-SEZ diwajibkan mengambil sekurang-kurangnya 70 peratus tenaga kerja tempatan serta memberi peluang kepada vendor dalam kalangan golongan B40 dan M40 Johor disambut baik kerajaan negeri.

Ad Banner

Beliau berkata aspirasi itu turut diterjemahkan menerusi pelaksanaan Kerangka Insentif Baharu (NIF) di peringkat Persekutuan yang berkuat kuasa 1 Mac lepas di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Katanya, NIF menggunakan pendekatan berasaskan keberhasilan berbeza dengan kaedah terdahulu yang memberikan insentif cukai secara pukal berdasarkan nilai modal semata-mata.

Menerusi pendekatan itu, syarikat yang memohon dan menerima pakej insentif kerajaan perlu memenuhi syarat keberhasilan berdasarkan kad skor penilaian, antaranya penciptaan pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat tempatan, penawaran gaji premium serta pengurangan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah.

Ad Banner
Ad Banner

“Penilaian turut mengambil kira pengukuhan rantaian bekalan domestik melalui penggunaan input dan perkhidmatan tempatan serta pembangunan vendor, selain komitmen pelabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemindahan teknologi serta pembangunan bakat tempatan.

“Walaupun penetapan kuota mandatori seperti 70 peratus pekerja tempatan adalah tertakluk kepada dasar dan perundangan buruh di peringkat Persekutuan, pendekatan NIF ini bertindak sebagai instrumen timbal balik yang berkesan.

“Lebih tinggi manfaat yang diberikan oleh pelabur kepada pekerja dan vendor tempatan, lebih tinggi tahap insentif yang layak mereka terima,” Katanya ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Sementara itu, Johor menyasarkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 8.2 peratus tahun ini dan 7.2 peratus pada 2027, selepas merekodkan pertumbuhan 8.0 peratus pada 2025, tertinggi dalam kalangan negeri bagi tahun kedua berturut-turut.

Lee berkata negeri itu turut merekodkan RM99.71 bilion pelaburan diluluskan bagi tempoh Januari hingga September 2026, meningkat 9.3 peratus berbanding RM91.19 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.

Katanya, jumlah itu merangkumi 674 projek yang dijangka mewujudkan 22,349 peluang pekerjaan baharu, dengan sektor perkhidmatan menyumbang RM68.26 bilion, manakala sektor pembuatan merekodkan RM31.22 bilion.

“Subsektor maklumat dan komunikasi menerajui sektor perkhidmatan dengan nilai pelaburan RM61.60 bilion, manakala subsektor elektrik dan elektronik (E&E) menjadi penyumbang utama sektor pembuatan dengan RM16.45 bilion.

"Keutamaan kerajaan negeri kini adalah menyegerakan pelaksanaan projek berimpak tinggi yang sedang berjalan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta meningkatkan pendapatan rakyat," katanya.

Bagi memperkukuh penyertaan PMKS tempatan dalam rantaian ekonomi, Lee berkata Belanjawan Johor 2027 menyediakan tambahan dana pembiayaan tanpa faedah sebanyak RM100 juta menerusi Skim Pembiayaan Mikro Usahawan Johor dengan kerjasama institusi kewangan.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi Bantuan Usahawan Maju Johor dan RM2.5 juta untuk Program Pengembangan Produk Meh Sapot Lokal bagi membantu usahawan meningkatkan keupayaan produk serta meluaskan pasaran.

“Peruntukan RM1 juta turut disediakan bagi Program Didik Usahawan Bangsa Johor, manakala Program Pemerkasaan Ekonomi Wanita (PINJAR) dan SMART PEMULA menerima peruntukan bersama sebanyak RM3 juta.

“Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM1 juta bagi pengecualian bayaran lesen perniagaan tahun pertama kepada penjaja dan peniaga kecil,” katanya.

Lee berkata kajian interim oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Johor dan Universiti Malaya mendapati PMKS berdepan cabaran mendapatkan akses kepada pembeli, meningkatkan keupayaan perniagaan serta menanggung kos pematuhan piawaian.

-- BERNAMA