BERITA TERKINI   Stesen janakuasa setempat Tawau berjaya salurkan bekalan, manakala di Sandakan sedang dipulihkan - Sabah Electricity | Stesen janakuasa setempat digunakan bagi percepat pemulihan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah - Sabah Electricity | Bekas Undang Luak Sungei Ujong Mubarak Thahak akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban esok atas tuduhan menghasut | Dua beradik maut, seorang lagi cedera selepas motosikal terbabas di Tendong, Pasir Mas – Polis | Gangguan bekalan elektrik: Lapangan Terbang Tawau, Sandakan dan Lahad Datu beroperasi seperti biasa dengan penggunaan generator - Malaysia Airports | 

BDB Kembali Pulih, Raih Untung Bersih RM3.30 Juta Bagi Sembilan Bulan Pertama 2026

ALOR SETAR, 26 Nov (Bernama) -- Bina Darulaman Berhad (BDB) kembali mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM3.30 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir pada 30 Sept 2026 berbanding kerugian bersih RM11.82 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan perolehan hasil bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 susut kepada RM185.65 juta daripada RM278.95 juta.

Bagi tempoh sama, syarikat itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM5.06 juta.

Ad Banner

Sementara itu dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB Che Abdul Khalid Md Din berkata prestasi itu sekali gus mencerminkan momentum pemulihan kewangan syarikat yang semakin positif.

“Peningkatan sebanyak RM16.88 juta itu disokong terutamanya oleh pemulihan segmen pembangunan hartanah, pengurangan kerugian segmen kejuruteraan dan pembinaan serta penurunan perbelanjaan operasi kumpulan.

“Keuntungan selepas cukai turut mencatatkan pemulihan positif meskipun hasil kumpulan turun kepada RM185.65 juta daripada RM278.95 juta susulan hasil pembinaan yang lebih rendah,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata keuntungan kasar bagaimanapun meningkat 88.8 peratus kepada RM28.39 juta dengan margin keuntungan kasar bertambah baik kepada 15.3 peratus berbanding 5.4 peratus manakala perbelanjaan operasi berjaya dikurangkan sebanyak 17.4 peratus kepada RM24.16 juta.

“Fokus BDB kini adalah untuk mengekalkan momentum positif ini menerusi pelaksanaan projek yang berdisiplin, pengurusan kos dan modal kerja yang cekap serta peningkatan jualan dan kutipan bayaran hartanah,” katanya.

Che Abdul Khalid berkata bagi tempoh suku ketiga berakhir 30 Sept 2026, BDB mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM855,000 berbanding kerugian RM6.42 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, disokong oleh peningkatan keuntungan kasar serta pengurusan perbelanjaan operasi yang lebih berkesan.

Mengulas prestasi segmen perniagaan, beliau berkata segmen pembangunan hartanah muncul sebagai antara pemacu utama pemulihan kewangan BDB apabila mencatatkan hasil RM54.35 juta dan keuntungan segmen RM4.10 juta berbanding kerugian RM8.25 juta pada tempoh sama 2025.

“Peningkatan ini disokong oleh pengiktirafan hasil jualan hartanah yang lebih tinggi, kemajuan projek pembangunan serta prestasi jualan hartanah di hab komersial Axis.

“Segmen pembinaan jalan raya dan kuari terus menjadi penyumbang keuntungan utama dengan meraih hasil RM89.46 juta manakala keuntungan segmen RM2.96 juta, disokong oleh aktiviti pembinaan jalan raya serta operasi kuari, meskipun berdepan sumbangan kerja penurapan jalan lebih rendah dan margin kontrak yang lebih kecil,” katanya.

Selain itu, segmen kejuruteraan dan pembinaan pula berjaya mengurangkan kerugian kepada RM1.73 juta berbanding RM3.42 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, hasil inisiatif penjimatan kos, pelarasan kos projek air tidak berhasil (NRW) Perlis serta peningkatan kecekapan pengurusan dan pelaksanaan projek,” katanya.

Beliau berkata hasil bagi segmen rekreasi meningkat kepada RM5.42 juta berbanding RM4.57 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya yang antaranya disumbangkan oleh pengendalian secara langsung Fantasia Aquapark, meskipun segmen itu masih mencatatkan kerugian sebanyak RM1.34 juta berikutan peningkatan kos operasi dan penutupan sementara Classic Café.

BDB juga, katanya, akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan prestasi operasi, pelaksanaan projek secara berkesan, peningkatan jualan, kutipan hartanah serta kawalan rapi terhadap kos operasi dan modal kerja bagi memastikan pertumbuhan perniagaan yang mampan.

“Dalam segmen pembinaan jalan raya dan kuari, kontrak Penyelenggaraan Jalan Negeri Kedah bernilai RM251.65 juta untuk tempoh 60 bulan yang dilaksanakan oleh BDB Infra Sdn Bhd, dijangka terus menyumbang kepada kestabilan dan kesinambungan hasil kumpulan.

“Bagi segmen kejuruteraan dan pembinaan, tumpuan diberikan kepada penyempurnaan projek sedia ada, termasuk baki kerja Loji Rawatan Air  (LRA) Pelubang serta projek Integrated Business Centre (IBC) bernilai RM11.5 juta di Kedah Rubber City, Padang Terap,” katanya.

Secara keseluruhan, beliau berkata BDB komited untuk memperkukuh disiplin kewangan, meningkatkan kecekapan operasi dan mengoptimumkan aset bagi mengekalkan momentum pemulihan keuntungan serta memperkukuh aliran tunai operasi kumpulan.

-- BERNAMA