BERITA TERKINI   Liga Super: DPMM FC 5-0 Kelantan Red Warrior FC | 

Axiata Kembali Pulih, Raih Untung Bersih RM35.71 Juta Bagi Suku Ketiga

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Axiata Group Bhd (Axiata) kembali meraih keuntungan bersih sebanyak RM35.71 juta pada suku ketiga tahun kewangan yang berakhir pada 30 September 2026 berbanding kerugian bersih sebanyak RM27.35 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Perolehan hasil menokok 6.6 peratus kepada RM3.11 bilion pada suku ketiga 2026 berbanding RM2.92 bilion sebelum ini.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, kumpulan telekomunikasi dan teknologi itu memaklumkan pada kadar pertukaran mata wang yang malar (ditetapkan pada nisbah tertentu), perolehan hasil pendapatan kumpulan meningkat sebanyak 13.2 peratus yang didorong oleh pertumbuhan semua syarikat operasi (OpCo), kecuali Linknet.

Ad Banner

“Keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat sebanyak 2.6 peratus atau 10.0 peratus mengikut kadar pertukaran mata wang kepada RM1.39 bilion yang telah disumbangkan terutamanya oleh pertumbuhan hasil pendapatan.

“Selain itu, keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) turun 30.3 peratus (18.5 peratus berdasarkan kadar pertukaran mata wang malar) kepada RM239.3 juta, terutamanya disebabkan oleh peningkatan rosot nilai muhibah Linknet sebanyak RM366.0 juta pada suku ketiga 2026 berbanding RM213.4 juta pada tempoh sama 2025,” maklum kumpulan itu.

Menurut Axiata, anak syarikat majoriti miliknya yang berpangkalan di Bangladesh, Robi, mencatatkan hasil lebih tinggi sebanyak RM889.0 juta manakala hasil Smart meningkat kepada RM465.0 juta dan perolehan hasil EDOTCO melonjak kepada RM659.3 juta.

Ad Banner
Ad Banner

Perolehan hasil Linknet bagaimanapun merosot kepada RM158.4 juta, ADA meningkat kepada RM400.6 juta dan Boost naik kepada RM70.7 juta.

Namun, hasil Dialog menyusut kepada RM594.8 juta.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, kumpulan berkenaan mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM352.03 juta berbanding RM403.30 juta bagi tempoh sama 2025 manakala hasil meningkat kepada RM8.78 bilion berbanding RM8.77 bilion pada tahun sebelumnya.

Menyentuh prospek bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2026, Axiata memaklumkan pelan strategik Axiata28:Advancing Asia terus menjadi panduan bagi fasa pertumbuhan selanjutnya untuk kumpulan dengan menumpukan portfolio perniagaan telekomunikasi dan teknologi yang menerajui pasaran.

Selain itu bagi portfolio telekomunikasi, kumpulan berkenaan terus meraih manfaat daripada struktur pasaran yang semakin baik susulan proses penyatuan industri di Indonesia, Sri Lanka dan Malaysia.

“Momentum pertumbuhan dicapai sejak awal tahun sehingga kini (2026), disokong oleh sinergi pasca penggabungan XLSMART, inisiatif pemulihan pasaran serta kecemerlangan operasi berterusan yang merentasi portfolio perniagaan dan dijangka terus dapat menyokong pertumbuhan keuntungan,” maklum kumpulan itu.

Dari segi portfolio teknologi, kumpulan itu terus merancakkan usaha pertumbuhan dan penciptaan nilai menerusi jalinan kerjasama strategik, inovasi digital serta keupayaan berteraskan kecerdasan buatan (AI).

“Pengembangan ADA menerusi pengambilalihan Algonomy selain kemajuan berterusan merangkumi perkhidmatan kewangan digital Boost, pula dijangka menyokong peningkatan skala perniagaan selain penciptaan nilai jangka panjang.”

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Pengerusi Axiata Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan menyifatkan kemajuan dicapai yang merentasi portfolio telekomunikasi dan teknologi bersama kedudukan kewangan yang lebih kukuh, telah menyuntik asas lebih mantap untuk kumpulan merealisasikan aspirasi yang disasarkan.

“Cadangan transaksi EDOTCO misalnya adalah konsisten dengan pendekatan ini. Menerusi langkah pengurusan portfolio secara aktif dan penggunaan semula modal yang berdisiplin, kami memperkukuhkan lagi daya tahan kewangan Axiata sambil mengekalkan penglibatan dalam potensi pertumbuhan EDOTCO Malaysia di masa depan,” katanya.

-- BERNAMA