Keuntungan Bersih Hibiscus Petroleum Melonjak Kepada RM101.06 Juta
KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih Hibiscus Petroleum Bhd melonjak kepada RM101.06 juta pada suku pertama berakhir 30 Sept 2026, naik daripada RM20.10 juta dalam tahun sebelumnya, disokong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi di Semenanjung Malaysia, Sabah, Brunei dan United Kingdom.
Pendapatan meningkat kepada RM795.15 juta berbanding RM433.06 juta pada suku tahun yang sama.
Pengeluar minyak dan gas itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata segmen Semenanjung Malaysianya mencatatkan pendapatan RM248.23 juta berbanding RM80.55 juta dari tahun sebelumnya, manakala hasil Sabah menokok kepada RM292.01 juta daripada RM191.23 juta.
Hasil daripada operasi Brunei turut melonjak kepada RM157.83 juta daripada RM98.91 juta, didorong oleh pengeluaran gas dan kondensat yang lebih tinggi berikutan pentauliahan pemampat tekanan rendah (LPC) di aset Blok B MLJ.
“Aset itu memberikan prestasi operasi yang kukuh pada suku semasa, dengan sistem LPC beroperasi pada purata masa operasi peralatan sebanyak 98 peratus berikutan permulaan dan pengeluaran dalam mod tekanan rendah, menghasilkan kenaikan 58 peratus dalam pengeluaran gas serta kondensat, manakala aktiviti pengoptimuman pengeluaran tetap berjalan,” katanya.
Di United Kingdom, Hibiscus Petroleum berkata pendapatannya bertambah kepada RM94.61 juta daripada RM57.51 juta, dengan pengeluaran dari medan Teal West menyumbang kepada pengeluaran yang lebih tinggi selepas mencapai minyak pertama pada 4 Julai 2026.
Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 2.5 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027, meningkat daripada 2.0 sen pada suku yang sama tahun lepas.
Secara berasingan, Pengarah Urusan Hibiscus Petroleum, Dr Kenneth Pereira berkata kumpulan itu terus mendapat manfaat daripada kenaikan harga komoditi, yang menyumbang kepada peningkatan dari tahun ke tahun dalam prestasi kewangannya.
“Perjanjian kami dengan Seri Pajam Development Sdn Bhd merupakan pencapaian penting ke arah kepelbagaian kumpulan ke dalam peralihan tenaga dan perniagaan tenaga bersebelahan, sambil mengekalkan minyak dan gas sebagai teras kami, selaras dengan strategi Hibiscus 3.0 kami.
“Lonjakan permintaan tenaga Malaysia daripada pusat data, termasuk yang menyokong beban kerja kecerdasan buatan (AI), akan memerlukan dorongan yang ketara dalam bekalan penjanaan tenaga,” katanya.
Pereira menambah bahawa kumpulan itu sedang meneruskan perbincangan dengan pelabur strategik yang berpotensi untuk mendapatkan cadangan komersil yang optimum dan mara ke arah sasaran 2030 bagi mencapai pengeluaran bersih sebanyak 70,000 tong bersamaan minyak sehari (boe/hari).
-- BERNAMA