Peluang Ekonomi Dalam Sektor Tawar Nilai Tambah Tinggi Perlu Diperluas – Mohd Shahar
JERTIH, 29 Nov (Bernama) -- Peluang ekonomi dalam sektor yang menawarkan nilai tambah lebih tinggi perlu diperluas bagi membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata usaha itu perlu disertai dengan meningkatkan kemahiran penduduk supaya mereka dapat memanfaatkan peluang pekerjaan dan ekonomi yang tersedia, sekali gus memperkukuh kedudukan ekonomi masing-masing.
Beliau berkata dalam hal ini, penguasaan lebih daripada satu bahasa asing juga penting khususnya kepada penduduk di kawasan berpotensi menerima kehadiran pelancong bagi meningkatkan keupayaan komunikasi serta mutu perkhidmatan yang ditawarkan.
"Kebolehan berbahasa asing bukan hanya membolehkan penduduk berinteraksi dengan pelancong dari Eropah atau Amerika, malah dapat menarik pelawat daripada pelbagai negara melalui komunikasi yang baik, sekali gus mewujudkan promosi daripada mulut ke mulut yang mampu meningkatkan daya tarikan kawasan berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Bersasar 2026 Wilayah Timur anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Kota Putera Square, Besut di sini hari ini.
Mengulas usaha membasmi kemiskinan, Mohd Shahar berkata pendekatan menyeluruh perlu digerakkan dengan menggembleng tenaga semua pihak termasuk kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan agensi di peringkat daerah.
Beliau berkata pendidikan sememangnya penting dalam membantu masyarakat keluar daripada kemiskinan, namun kesannya mengambil masa panjang sebelum dapat diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan dan taraf hidup.
"Kalau kita hanya mengharapkan pendidikan sahaja untuk membasmi kemiskinan, ia tidak akan dapat dicapai dengan kadar yang cepat kerana rate of return (kadar pulangan) itu mengambil masa yang panjang.
"Sekiranya kita ingin mempercepat pembasmian kemiskinan, semua pihak mesti terlibat, bukan hanya kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tetapi pihak swasta, NGO dan masyarakat juga harus terlibat sehingga kita dapat membasmi kemiskinan ke noktah terakhir," katanya.
Ketika ditanya mengenai faktor yang menyumbang kepada kadar kemiskinan yang masih tinggi di Besut, Mohd Shahar berkata perkara itu masih dalam penelitian dan memerlukan pandangan serta kerjasama pelbagai pihak sebelum langkah intervensi bersasar dapat dirangka dengan lebih tepat.
Berdasarkan penerbitan Indikator SDG Terengganu 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 10.6 peratus isi rumah di Besut berada di bawah paras kemiskinan nasional pada tahun berkenaan manakala dapatan Laporan Semakan Tempatan (VLR) Besut 2025 menunjukkan 46.7 peratus isi rumah tergolong dalam kumpulan B40 .
--.BERNAMA