BERITA TERKINI   Harga petrol RON97 kekal pada kadar RM4.35 seliter bagi tempoh 18 hingga 24 Jun - MOF | Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turun 30 sen kepada RM4.37 seliter bagi tempoh 18 hingga 24 Jun - MOF | ASEAN dan Rusia mampu menyumbang secara bermakna dengan memperkukuh kerjasama praktikal berasaskan saling menghormati, keterbukaan dan kepentingan bersama - PM Anwar | ASEAN dan Rusia mampu pupuk ekonomi global lebih berdaya tahan, inklusif dan makmur dengan membina hubungan lebih kukuh antara perniagaan, institusi dan masyarakat - PM Anwar | ASEAN terus percaya bahawa kemajuan ekonomi adalah paling baik digerakkan menerusi kerjasama dan bukannya konfrontasi, serta libat urus dan bukannya peminggiran - PM Anwar | 

Rest N Go Sasar Pasaran Indonesia Bagi Fasa Pengembangan Seterusnya Di ASEAN

 

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Syarikat kerusi urut layan diri Malaysia, Rest N Go merancang untuk memperluas operasinya ke Indonesia, merupakan fasa strategi pertumbuhan seterusnya di rantau Asia Tenggara.

Ad Banner
Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Terence Chang berkata syarikat yang ditubuhkan pada 2008, kini mengendalikan sebanyak 6,691 kerusi urut layan diri di lebih 1,000 lokasi meliputi tujuh negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam, Filipina, Kemboja dan Brunei.

“Ini merupakan detik yang membanggakan untuk mewakili Malaysia di Sidang Kemuncak ASEAN 2025. Penyertaan dalam acara berprestij seperti ini mencerminkan peranan kami dalam mempromosikan kesejahteraan melalui inovasi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian pada pameran produk yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pelan pengembangan syarikat itu termasuklah menjalin kerjasama strategik, melancarkan rekaan ruang rehat yang ditambah baik dan inovasi berterusan dalam rangkaian produknya dengan matlamat untuk menjadi peneraju serantau dalam kesejahteraan digital.

“Kami menyasarkan untuk mengembangkan ruang rehat premium kami ke lebih banyak lapangan terbang, pusat beli-belah dan hab pengangkutan. Indonesia merupakan pasaran utama yang sedang giat kami terokai,” katanya.  

Sebagai rakan strategik untuk mesyuarat peringkat tinggi, syarikat menyediakan 30 stesen kerusi urut di pelbagai ruang untuk memudahkan para delegasi. 

Rest N Go turut mempamerkan kerusi urut terkininya, GT2088 menampilkan keselesaan premium dipertingkatkan dan keupayaan pembayaran tanpa tunai serta aplikasi syarikat yang membolehkan pengguna mengakses dan mengurus sesi urut mereka dengan lancar.

Pemimpin ASEAN akan berhimpun di sini pada Isnin untuk mesyuarat serantau, diadakan di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

ASEAN ditubuhkan pada 1967, terdiri daripada 10 negara anggota, iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

-- BERNAMA