BERITA TERKINI   Kanak-kanak lelaki 11 tahun maut akibat kecederaan di kepala dipercayai berpunca senjata api buatan sendiri ‘Ginsok’ di Sook Sabtu lepas - Ketua Polis Daerah Keningau | Polis rampas 42 laras senapang angin, 456 kotak kecil peluru serta tahan lelaki 50 tahun dalam operasi di Sook semalam - Ketua Polis Daerah Keningau | Jerebu: Johor laksana solat hajat di semua masjid dan surau bermula hari ini sehingga keadaan kembali pulih - Exco Mohd Fared | Jerebu: Sekolah di bawah PPD Hulu Langat, Petaling Perdana, Kuala Langat, Sepang, Kuantan dan Rompin turut ditutup esok - Fadhlina | Sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya ditutup esok - Fadhlina | 

Ekonomi Malaysia Kekal Berdaya Tahan, Atasi Singapura Dan Thailand - Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Prestasi pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berhadapan dengan ketidaktentuan geopolitik dan perdagangan global, lebih baik berbanding beberapa negara ASEAN antaranya Singapura dan Thailand pada suku kedua tahun ini.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia bagi tempoh tersebut mencatat sebanyak 4.4 peratus, disokong oleh permintaan domestik yang kekal mampan, manakala Singapura mencatat 4.3 peratus dan Thailand merekodkan pertumbuhan 2.8 peratus

"Secara keseluruhannya, pertumbuhan KDNK negara telah diunjur mencatat antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus pada 2025, mengambil kira cabaran ekonomi dan persekitaran global semasa," kata MoF dalam jawapan bagi pertanyaan lisan Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Ad Banner

Ia bagi menjawab soalan Senator Pele Peter Tinggom yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan pertumbuhan ekonomi negara setakat suku kedua 2025, sejauh mana prestasi pertumbuhan KDNK negara berbanding negara-negara ASEAN yang lain. 

Dalam pada itu, kementerian berkata walau bagaimanapun kadar pertumbuhan Malaysia adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan negara Vietnam, Filipina dan Indonesia. 

Ekonomi Vietnam berkembang 7.9 peratus, menjadikannya antara yang paling tinggi di rantau ini. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pertumbuhan KDNK Filipina mencatat 5.5 peratus, manakala ekonomi Indonesia mencatat pertumbuhan 5.1 peratus. 

Prestasi pertumbuhan ekonomi berbeza-beza antara negara menggambarkan kepelbagaian struktur ekonomi dan strategi dasar ekonomi masing-masing. 

Secara keseluruhannya, berdasarkan prestasi terkini ekonomi Malaysia terus berdaya tahan, dipacu oleh kerangka Ekonomi MADANI yang inklusif dan seimbang. 

-- BERNAMA