BERITA TERKINI   ACLE: Sanfrecce Hiroshima 1-0 JDT. JDT mara ke suku akhir secara agregat 3-2 | Penerima bantuan tunai BUDI Diesel dinaikkan kepada RM300 sebulan bagi tempoh interim - Kementerian Kewangan | Kerajaan MADANI kekalkan harga RON95 di bawah inisiatif BUDI95 pada RM1.99 seliter walaupun harga pam petrol RON95, diesel meningkat - Kementerian Kewangan | Isu saham Azam Baki : Jemaah Menteri terima hasil laporan siasatan Peguam Negara hari ini, tindakan lanjut diambil KSN - Fahmi | Isu 3R : Tindakan tegas perlu segera diambil, kaji pindaan undang-undang jika perlu - Fahmi | 
Ad Banner

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini selepas pasaran bimbang bahawa pengukuhan ringgit berbanding dolar US akan menjejaskan permintaan komoditi itu dalam tempoh terdekat, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, ringgit melantun semula kepada 3.9295/9360 berbanding dolar US, meningkat berbanding 3.9440/9500 yang dicatatkan pada Jumaat lepas apabila dagangan disambung semula berikutan cuti Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan pada Isnin.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Peniaga proprietari David Ng dari Iceberg X Sdn Bhd berkata paras inventori yang tinggi di negara ini turut menjejaskan sentimen pasaran.

“Kami melihat harga (MSM) disokong melebihi paras RM4,150 dan rintangan pada RM4,300,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan, kontrak Februari 2026 turun RM20 kepada RM4,140 satu tan, Mac 2026 dan April 2026 susut RM14 setiap satu kepada RM4,195 serta RM4,215.

Ad Banner
Ad Banner

Kontrak Mei 2026 jatuh RM11 kepada RM4,217 setan, Jun 2026 dan Julai 2026 turun RM9 setiap satu kepada RM4,204 serta RM4,185.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 58,671 lot berbanding 84,668 yang disaksikan semasa Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 219,350 kontrak daripada 220,712 sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Februari Selatan menurun sebanyak RM10 kepada RM4,190 satu tan.

-- BERNAMA