Teknologi Baharu Berpotensi Buka Peluang Untuk Ekonomi Biru Malaysia - Pakar
KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Menurut pakar dari Malaysia dan Jepun, teknologi baharu yang sedang berkembang seperti Penukaran Tenaga Terma Laut (OTEC), penghasilan hidrogen menggunakan tenaga angin, dan penyelesaian maritim hijau berpotensi membuka peluang baharu bagi Ekonomi Biru Malaysia.
Akademi Sains Malaysia (ASM) menyatakan bahawa selain penjanaan tenaga boleh baharu, OTEC mampu menyokong aplikasi dalam penghasilan hidrogen hijau, penyejukan menggunakan air laut, akuakultur, dan industri bernilai tinggi yang lain.
Pihaknya memaklumkan bahawa pakar turut mengetengahkan peluang dalam pelancongan marin regeneratif dan perkapalan yang lebih mesra alam serta kerjasama saintifik dan teknologi yang lebih kukuh antara Malaysia dan Jepun bagi memajukan penyelesaian ini.
Ekonomi Biru adalah model pembangunan ekonomi yang berasaskan pemanfaatan sumber kekayaan laut dan pesisir pantai secara lestari.
Konsep ini menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, peningkatan taraf hidup komuniti pesisir, dan pemeliharaan kesihatan ekosistem marin.
Malaysia komited memperkasakan ekonomi biru menerusi Rangka Kerja Ekonomi Biru Kebangsaan untuk memacu pertumbuhan baharu negara yang seimbang dari segi impak alam sekitar.
Menurut Felo ASM dan felo penyelidik OTEC di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Abu Bakar Jaafar, kerjasama antara Malaysia dan Jepun mampu mempercepatkan kemajuan pembangunan OTEC.
“Malaysia mempunyai potensi besar untuk membangunkan OTEC sebagai sebahagian daripada Ekonomi Birunya.
“Dengan menggabungkan sumber lautan Malaysia serta kepakaran dan pengalaman teknologi Jepun, kita boleh mempercepatkan peralihan daripada peringkat penyelidikan dan demonstrasi kepada aplikasi yang berdaya maju secara komersial,” katanya.
Abu Bakar berkata demikian pada Simposium Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) 2026 dianjurkan oleh Persatuan Alumni JSPS Malaysia (JAAM), ASM dan Japan Society for the Promotion of Science (JSPS) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Profesor Emeritus dari Tokyo Institute of Technology, Prof Dr Kazuo Nadaoka pula menekankan kepentingan mengintegrasikan pemulihan ekologi dengan pembangunan ekonomi dan komuniti setempat.
“Ekonomi Biru tidak boleh dimajukan secara terpisah daripada komuniti dan ekosistem yang menyokongnya.
“Pelancongan marin regeneratif menawarkan jalan untuk menghubungkan pemulihan terumbu karang dengan mata pencarian penduduk tempatan serta nilai ekonomi serta membangunkan pendekatan yang boleh disesuaikan merentas komuniti pulau,” katanya.
Simposium tersebut menghimpunkan penyelidik, pakar, dan pihak berkepentingan dari Malaysia dan Jepun untuk meneliti bagaimana sains, teknologi, dan inovasi dapat menyokong Ekonomi Biru yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Menurut ASM, sesi pertukaran ilmu itu menampilkan tokoh-tokoh terkemuka dari Malaysia dan Jepun, dengan perspektif yang merangkumi bidang sains, dasar, dan teknologi baharu yang sedang berkembang.
-- BERNAMA