BERITA TERKINI   ACL2: Phnom Penh Crown 2-1 Kuching City | Proklamasi mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan tidak sah kerana tidak patuh kehendak mandatori Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri - AGC | Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan tiada kuasa unilateral tamat atau kosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar - AGC | Pengguna domestik guna elektrik sehingga 800 kWj sebulan diberi pengecualian Pelarasan AFA, Caj Peruncitan serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan - PM Anwar | Kerajaan setuju perluas perlindungan bil elektrik daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan bagi September hingga 31 Dis 2026 - PM Anwar | 

Affin Bank, IFC Bekerjasama Perluas Akses Pembiayaan PMKS Melalui Pakej US$400 Juta

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Affin Bank Bhd bekerjasama dengan ahli kumpulan Bank Dunia iaitu Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC) bagi memperluas akses pembiayaan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh Malaysia.

Menurut bank itu, pembiayaan berkenaan memberi tumpuan kepada perniagaan milik wanita serta perusahaan yang beroperasi di kawasan-kawasan yang masih berdepan dengan jurang pembiayaan selain terus mengehadkan pertumbuhan dan penyertaan ekonomi.

“Inti pati kerjasama ini ialah pakej pembiayaan bernilai US$400 juta untuk Affin Bank yang bertujuan memperluas akses kepada modal serta memperkukuh sokongan kepada PMKS dan segmen perniagaan lain yang kurang mendapat perkhidmatan pembiayaan.

Ad Banner

“Di bawah rangka kerja yang dipersetujui, bank akan menyalurkan pembiayaan kepada PMKS yang layak bagi menggalakkan pelaburan produktif, meningkatkan daya saing perniagaan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih terangkum,” jelas bank itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Industri Serantau Kumpulan Institusi Kewangan IFC Asia Pasifik Allen Forlemu berkata kerjasama tersebut berpotensi mewujudkan sekurang-kurangnya 42,000 peluang pekerjaan di seluruh Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menurut beliau pembiayaan itu boleh memperluas akses kepada pembiayaan bagi usahawan wanita dan perusahaan yang beroperasi di luar pusat bandar utama khususnya di kawasan yang mempunyai jurang pembiayaan lebih besar.

Ad Banner

Katanya, perniagaan kecil merupakan pemacu penting kepada pewujudan pekerjaan dan peluang ekonomi di Malaysia.

“Kami mengalu-alukan kerjasama dengan rakan seperti Affin Bank yang mempunyai tumpuan, pengalaman dan kepakaran serta menghargai kepimpinan berwawasannya dalam menyokong pertumbuhan PMKS Malaysia termasuk perusahaan milik wanita.

"Selain itu kerjasama berkenaan meningkatkan taraf komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan di kawasan seperti Sarawak dan Sabah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata kerjasama berkenaan memperluas keupayaan bank untuk menyokong perniagaan berpotensi tinggi untuk berkembang khususnya perusahaan milik wanita.

Ia juga menyokong perniagaan di kawasan yang masih mempunyai akses pembiayaan yang terhad.

“Kami percaya akses yang lebih luas kepada modal penting amat penting untuk memajukan pembangunan sosioekonomi, memperkukuh ekonomi tempatan dan mewujudkan peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk turut serta dalam pertumbuhan ekonomi negara.

“Kerjasama kami dengan IFC memperluas akses Affin Bank kepada modal antarabangsa dan kepakaran kewangan pembangunan, membolehkan kami memperluas pembiayaan untuk perniagaan di Malaysia,” katanya.

Wan Razly menjelaskan kerjasama itu turut menggabungkan rangkaian pelabur antarabangsa IFC dengan pemahaman mendalam Affin Bank mengenai pasaran Malaysia sekali gus mewujudkan peluang untuk memperluas pangkalan pelanggannya dan menyalurkan modal ke sektor ekonomi yang produktif.

“Berpandukan Pelan AFFIN Axelerate 2028 (AX28) kami, kerjasama ini mempercepat usaha kami untuk menjadi syarikat kewangan paling kreatif dan inovatif di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA