Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Kebanyakan Mata Wang Utama
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Ringgit ditutup kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama pada Khamis, namun susut berbanding dolar AS berikutan pelabur menilai keputusan kadar faedah terkini Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.
Pada 6 petang, unit tempatan susut kepada 4.0965/1010 berbanding dolar AS daripada 4.0835/0880 semasa ditutup pada Selasa.
Pasaran ditutup semalam berikutan cuti umum Hari Malaysia.
Ringgit mencecah paras terendah 4.1012 pada 9.13 pagi hari ini sebelum melantun semula dengan ditutup pada 4.0965.
Bank pusat AS pada Rabu menaikkan julat sasaran kadar dana persekutuan kepada 3.75-4.00 peratus daripada 3.50-3.75 peratus.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas (bps) oleh Fed semalam dijangka bukan yang terakhir berikutan bank pusat AS itu kekal komited untuk mengembalikan kadar inflasi kepada sasaran dua peratus.
“Esok, pasaran akan memberi tumpuan kepada keputusan kadar faedah Bank of Japan (BOJ) dan pasaran menjangkakan kenaikan sebanyak 25 bps sebagai antara kemungkinan yang boleh berlaku.
“Oleh itu, sentimen pasaran dijangka kekal berhati-hati dalam keadaan pendirian dasar monetari yang ketat seperti dilaksanakan kalangan bank pusat utama,” katanya kepada Bernama.
Pada akhir dagangan, ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.7003/7055 daripada 4.7111/7163 semasa ditutup pada Selasa, meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.6305/6336 daripada 2.6366/6396 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.4877/4937 daripada 5.5037/5098 sebelumnya.
Berbanding mata wang negara ASEAN, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2099/2137 daripada 3.2093/2131 dan turun berbanding baht Thailand kepada 12.2734/2917 daripada 12.2620/2800.
Unit tempatan turut menyusut berbanding peso Filipina kepada 6.53/6.54 daripada 6.50/6.51 dan kekal tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada paras 230.7/231.1 semalam.
-- BERNAMA