BERITA TERKINI   Malaysia, Australia setuju perkukuh kerjasama teknikal antara Petronas dan pihak berkaitan Australia bagi pastikan kestabilan bekalan tenaga - PM Anwar | Malaysia kekal teguh pendirian terhadap Palestin, hargai sokongan Australia terhadap bantuan kemanusiaan serta usaha penyelesaian secara aman - PM Anwar | Bank Rakyat umum bayar dividen 18 peratus berjumlah RM534.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 | Golden Destinations yang baru disenaraikan di Pasaran ACE, dibuka pada 49 sen iaitu premium empat sen daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) dengan 15 juta saham diniagakan  | 
Ad Banner

Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 Penting Untuk Pulangan Mampan - LTAT

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berpendapat Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 (CMP) yang baru dilancarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sebagai pelan tindakan penting yang sejajar dengan misinya untuk menjana pulangan jangka panjang yang mampan kepada penyumbang.

Ketua Eksekutif LTAT Mohammad Ashraf Md Radzi berkata tabung pencen itu teruja oleh tumpuan strategik CMP untuk meningkatkan penilaian dan tadbir urus syarikat portfolio Malaysia.

“Kami amat berbesar hati berikutan tumpuan CMP ke atas tadbir urus dan peningkatan struktur korporat syarikat portfolio kami.

Ad Banner

“Ini memastikan kami supaya sentiasa dapat memberikan nilai yang konsisten kepada pencarum kami sambil menyumbang kepada kematangan keseluruhan pasaran modal Malaysia,” katanya.

LTAT merupakan sebuah badan berkanun yang diasaskan pada Ogos 1972 bagi menguruskan simpanan dan faedah persaraan untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia.

Mohammad Ashraf menekankan bahawa komitmen CMP terhadap kecukupan persaraan dan pendemokrasian produk pelaburan adalah penting dalam memastikan keselamatan kewangan jangka panjang veteran serta kakitangan yang bertugas aktif.

Ad Banner
Ad Banner

“Komitmen pelan untuk menjadikan alat pelaburan lebih mudah diakses mampu menjamin ahli kami mempunyai sumber yang mereka perlukan dalam mendapatkan persaraan yang bermaruah.

“Dengan mengurangkan halangan kemasukan dan menggalakkan celik kewangan, CMP membantu kami merapatkan jurang kepada ahli memastikan mereka tidak ketinggalan dalam perjalanan negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.

Mohammad Ashraf juga berkata LTAT menyokong pendekatan seluruh negara yang dianjurkan oleh kerajaan.

“Selaras dengan ufuk 20 tahun CMP, LTAT akan terus membentuk semula dan menyusun semula strategi pelaburannya agar boleh kekal sebagai enjin yang berdaya tahan kepada kedua-dua penyumbang dan ekonomi Malaysia yang lebih meluas.

“Melalui penjajaran ini, LTAT berhasrat untuk menyokong matlamat negara dalam membina negara berpendapatan tinggi yang inklusif, mampan dan berdaya tahan,” katanya lagi.

-- BERNAMA