BERITA TERKINI   Malaysia sumbang US$1 juta kepada UNRWA, disalurkan secara berperingkat dari 2026 hingga 2030 --  Wisma Putra | Kontrak penganjuran MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang dilanjutkan lima tahun hingga 2031 - Menteri KBS | Malaysia perlu persiapkan tenaga kerja hadapi era AI melalui pendidikan lebih berkualiti, latihan kemahiran dan pembangunan bakat - PM Anwar | Keputusan Ant International wujudkan pusat operasi globalnya di Malaysia cerminkan keyakinan meningkat terhadap kekuatan negara dalam bidang teknologi, inovasi dan AI - PM Anwar | Teknologi, kewangan dan inovasi perlu wujudkan pekerjaan berkualiti, memperkukuh industri tempatan, menyokong perniagaan dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan mampu milik - PM Anwar | 

MEF Sokong Rasionalisasi Subsidi Bahan Api Kerajaan, Gesa Penggunaan Secara Berhemat

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menekankan bahawa semua lapisan masyarakat mesti memainkan peranan proaktif dan bertanggungjawab dengan menggunakan bahan api secara berhemat dan memastikan penggunaan tenaga yang mampan dalam persekitaran ketidakpastian berterusan di Asia Barat.

Presidennya Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata perkembangan geopolitik yang berubah-ubah telah meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga global, bagaimanapun Malaysia juga tidak terkecuali daripada menghadapi tekanan luaran ini.

“MEF menyokong sepenuhnya usaha rasionalisasi bahan api oleh kerajaan dan menyeru semua pihak berkepentingan untuk bertindak tegas dan bertanggungjawab dalam menguruskan penggunaan bahan api,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ad Banner

Beliau juga berkata rasionalisasi bahan api harus dilihat sebagai tanggungjawab negara bersama dan bukan cabaran ditanggung kerajaan sahaja.

“Ia memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan seluruh negara, pembuat dasar menyediakan hala tuju dan sokongan jelas, perniagaan memacu kecekapan dan inovasi dan rakyat mengamalkan tabiat penggunaan yang lebih bertanggungjawab,” katanya.

Syed Hussain berkata MEF kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan langkah rasionalisasi bahan api dilaksanakan dengan cara menyeimbangkan kemampanan ekonomi, kesinambungan perniagaan, dan daya tahan negara.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Melihat ke depan, MEF juga menggalakkan perniagaan mempercepatkan peralihan mereka ke arah amalan mampan dan penyelesaian tenaga alternatif, katanya.

“Majikan perlu memulakan pelaburan dalam tenaga boleh baharu termasuk penyelesaian solar serta meneroka penggunaan kenderaan elektrik secara beransur-ansur, jika sesuai.

“Menubuhkan pasukan petugas dalaman untuk mengenal pasti strategi penjimatan bahan api merentasi operasi juga akan menjadi sangat penting,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan khas semalam mengumumkan bahawa berkuat kuasa 1 April, had bulanan individu untuk pembelian BUDI95 akan diselaraskan buat sementara waktu kepada 200 liter sebulan daripada 300 liter sebulan sebelum ini, disebabkan oleh konflik yang berterusan di Asia Barat.

Majoriti rakyat tidak terkesan oleh pengurangan kuota berkenaan kerana pengguna, secara purata, menggunakan kira-kira 100 liter sebulan dan hampir 90 peratus menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan.

-- BERNAMA