Capital A Dikeluarkan Daripada Status PN17, Penganalisis Kekalkan Saranan 'Beli'
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Bank pelaburan kekal positif terhadap Capital A Bhd selepas dikeluarkan daripada status Nota Amalan 17 (PN17) hari ini, ketika kumpulan itu memperluas asas pendapatannya menerusi sumbangan hasil bukan AirAsia yang semakin kukuh daripada syarikat dalam ekosistemnya.
Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menyatakan Capital A mencatatkan keuntungan dua suku berturut-turut susulan penyusunan semulanya, sekali gus memenuhi syarat utama untuk syarikat itu dikeluarkan daripada status PN17.
Capital A memulakan suku pertama tahun kewangan 2026 dengan kedudukan lebih baik, mencatatkan pendapatan teras sebanyak RM24.8 juta di sebalik konflik Asia Barat yang sedang berterusan, berbanding pendapatan pro-forma sebanyak RM50.9 juta pada suku keempat tahun kewangan 2025 dan RM39.3 juta pada suku pertama tahun kewangan 2025.
HLIB menyatakan anak syarikat milik penuhnya dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat, Asia Digital Engineering, terus memperluas kapasiti hangar, rangkaian barisan penyelenggaraan dan keupayaan bengkelnya.
Sementara itu, cabang logistik e-dagang dan kargo bersepadunya, Teleport Commerce Malaysia Sdn Bhd, terus memanfaatkan lonjakan e-dagang melalui kontrak kapasiti tambahan dengan syarikat penerbangan pihak ketiga.
Pada masa yang sama, MOVE, iaitu platform pelancongan dan gaya hidup digitalnya, sedang memperkukuh ekosistem platform berkenaan dengan perkhidmatan pihak ketiga.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap Capital A dengan harga sasaran (TP) yang tidak berubah pada 76 sen, berdasarkan metodologi penilaian jumlah bahagian.
"Dikeluarkan daripada status PN17 sepatutnya meningkatkan keyakinan pelabur dan menyokong penarafan semula penilaian," menurut HLIB dalam nota penyelidikannya.
Sementara itu, MBSB Investment Bank Bhd, yang mengekalkan saranan 'beli' terhadap Capital A, menyemak semula TP syarikat itu kepada 63 sen daripada 77 sen sebelum ini disebabkan oleh semakan semula perolehan, peralihan tahun asas penilaian kepada tahun kewangan 2027 dan andaian harga sasaran konsensus yang lebih rendah untuk AirAsia X Bhd.
Ia memaklumkan dikeluarkan daripada status PN17 hari ini adalah lebih awal daripada garis masa yang disasarkan sebelum ini iaitu pada Ogos 2026. Syarikat itu telah menyelesaikan pelan regularisasi PN17 pada Januari.
Pada akhir suku pertama tahun kewangan 2026, ekuiti pemegang saham kekal positif pada RM597.6 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada 19 Mei, 2026, Capital A menyatakan syarikat itu akan dikeluarkan daripada klasifikasi PN17, berkuat kuasa 9 pagi hari ini.
-- BERNAMA