Untung Bersih Marine & General Susut Kepada RM25 Juta Bagi TK2026
KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Marine & General Bhd mencatat keuntungan bersih lebih rendah kepada RM25 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 30 April 2026 (TK2026) daripada RM44.79 juta bagi tempoh sama tahun lepas.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu memaklumkan perolehan hasil bagi tempoh sama juga susut kepada RM343.92 juta daripada RM352.07 juta sebelum ini.
Bahagian huluan kekal menjadi penyumbang utama dengan menjana 83 peratus kepada hasil kumpulan manakala unit hiliran menyumbang 16 peratus dan baki satu peratus daripada aktiviti lain.
“Bagi tempoh terkumpul selama 12 bulan, bahagian huluan mencatat hasil sebanyak RM286 juta yang seiring dengan hasil diraih dalam tempoh sama tahun sebelumnya, disokong terutamanya oleh kadar sewaan lebih tinggi manakala kadar penggunaan kumpulan kapal kekal stabil pada 71 peratus berbanding 70 peratus dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
“Tempoh kumulatif 12 bulan menyaksikan bahagian hiliran merekodkan hasil sebanyak RM55.5 juta iaitu penurunan 17.9 peratus daripada RM67.6 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya berikutan terutamanya oleh ketersediaan kapal lebih rendah berikutan susulan pelupusan sebuah kapal pada tahun sebelumnya.
“Selain itu, (ini turut disebabkan oleh) peningkatan hari kapal tidak beroperasi bagi kapal yang menjalani kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan dalam tempoh semasa,” menurutnya.
Bagi suku keempat berakhir pada 30 April 2026, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM6.12 juta berbanding keuntungan bersih RM17.18 juta dalam suku sebelumnya.
Perolehan hasil turut berkurangan kepada RM66.74 juta daripada RM93 juta dalam suku keempat 2025.
Menyentuh prospek, Marine & General memaklumkan Lembaga Pengarah berpendirian berhati-hati memandangkan industri berdepan cabaran daripada aspek tekanan peralihan tenaga kepada usaha penyahkarbonan.
Ini turut dipengaruhi faktor lain seperti tekanan margin akibat kenaikan perbelanjaan modal penggerudian dan operasi, terutama bagi laut dalam serta peningkatan kos pematuhan dengan tahap piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang lebih ketat.
“Pasaran kapal tangki Malaysia dijangka kekal stabil dalam tempoh terdekat, disokong oleh aktiviti hiliran yang konsisten serta pembekalan produk bertapis,” menurutnya.
Marine & General juga menyatakan Lembaga Pengarahnya sedia maklum mengenai cabaran luaran, termasuk ketidaktentuan ekonomi global dan risiko geopolitik.
“Kumpulan akan terus menumpukan usaha kecekapan operasi dan pengoptimuman kumpulan kapal bagi mengekalkan daya tahan dan prestasi pendapatan yang stabil.
“Bagi tahun kewangan akan datang, kumpulan mengekalkan prospek neutral dengan prestasi operasi berpandukan perkembangan pasaran serta keadaan ekonomi semasa,” menurutnya.
-- BERNAMA