HSS Holdings Bakal Disenaraikan Di Pasaran ACE, Sasar Raih RM13.5 Juta Daripada IPO

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- HSS Holdings Bhd, pengeluar produk bakeri yang dalam perancangan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, menyasarkan untuk meraih RM13.5 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu.

Syarikat itu memaklumkan IPO berkenaan melibatkan terbitan awam sebanyak 75 juta saham baharu dan tawaran jualan sebanyak 52.5 juta saham sedia ada yang ditawarkan pada harga 18 sen sesaham. Penyenaraian tersebut dijadualkan pada 23 Jun, 2026.

Daripada jumlah hasil itu, sebanyak RM2.57 juta akan digunakan sebagai perbelanjaan modal untuk kemudahan pembuatan kumpulan; RM4.50 juta bagi pembayaran balik pinjaman bank; RM2.93 juta untuk modal kerja; dan RM3.50 juta bagi menampung perbelanjaan penyenaraian, tambah syarikat itu dalam satu kenyataan.

Ad Banner

Mengulas mengenai rancangan pengembangan, Pengarah Pengeluaran HSS Joshua Lau Ern Tien berkata kumpulan itu berhasrat memperluas penggunaan mesin automasinya sebelum 31 Disember, 2030, selaras dengan insentif yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2026.

Di bawah belanjawan itu, syarikat sedia ada yang melaksanakan projek pengembangan akan layak menerima pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus selama lima tahun, dengan tempoh permohonan dilanjutkan sehingga 31 Disember, 2030.

"Kami sedang mengembangkan kedua-dua kemudahan pembuatan kami dengan lebih banyak barisan pengeluaran berautomasi... ini akan membantu kami meningkatkan kapasiti semasa kepada lebih dua kali ganda.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Pada masa ini, kadar penggunaan kami secara purata adalah sekitar 70 peratus dan kami berharap dapat meningkatkannya lagi," katanya pada sidang media selepas pelancaran prospektus syarikat itu di sini, hari ini.

HSS terlibat dalam penyumberan produk-produk bakeri, perdagangan bakeri dan produk lain, serta pembuatan produk bakeri.

Dengan perniagaan yang bermula sejak 2004, kumpulan ini telah membina pengalaman operasi selama lebih 20 tahun dalam pasaran produk bakeri dan mewujudkan kehadiran pasaran yang luas menerusi rangkaian pemborong, pengedar dan peruncitnya yang meluas, menawarkan lebih 6,000 produk merangkumi barangan bakeri dan produk-produk lain.

Lau berkata syarikat itu turut merancang untuk meneroka segmen e-dagang menjelang suku keempat tahun ini bagi meningkatkan kesedaran jenama memandangkan pada masa ini ia bergantung kepada pemborong, peruncit dan pengedar untuk saluran jualan mereka.

Hari ini, rangkaian HSS merangkumi 330 pemborong, 117 peruncit dan lima pengedar di Malaysia, Singapura, Indonesia, Australia, Kemboja dan Korea Selatan.

"Ini adalah sebahagian daripada rancangan kami untuk meningkatkan kesedaran jenama memandangkan generasi muda lebih aktif secara dalam talian. Kami mahu orang ramai tahu bahawa kami masih sangat aktif di pasaran," katanya.

Selepas disenaraikan, HSS akan memiliki permodalan pasaran sebanyak RM90 juta, berdasarkan harga IPO 18 sen sesaham dengan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 500 juta saham.

M & A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO itu.

-- BERNAMA