Maybank Perkenal Maybank2E Generasi Baharu Bagi Perkukuh Perbankan Perniagaan Serantau
KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Maybank memperkenalkan Maybank2E (M2E) generasi baharu, platform perbankan perniagaan serantau bersepadu yang diwujudkan untuk perniagaan, daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada syarikat korporat, yang membolehkan mereka menguruskan transaksi dan pembayaran dengan lancar pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Menurut Maybank, M2E yang boleh diakses melalui web dan aplikasi M2E Biz, menyediakan ekosistem yang menyeluruh merangkumi pengurusan tunai, pembiayaan perdagangan dan penyelesaian pertukaran asing (FX) melalui satu log masuk, memberikan pengguna kelajuan, kejelasan dan kawalan transaksi yang lebih baik.
“Platform itu dilengkapkan dengan papan pemuka pengaktifan tunggal yang membolehkan pengguna memilih pelbagai penyelesaian serentak selain membolehkan pengaktifan dan akses jarak jauh melalui aplikasi.
“Pengguna juga boleh menguruskan kedudukan tunai dan perdagangan di seluruh pasaran dalam satu paparan, mengunci kadar FX serta-merta untuk lebih 20 mata wang dan menyesuaikan papan pemuka.
“Proses pendaftaran turut dimudahkan, dengan PKS (perkongsian dan syarikat Sdn Bhd) kini boleh membuka akaun bank secara dalam talian dalam tempoh beberapa minit tanpa perlu mengemukakan dokumen fizikal,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan perbankan global Maybank Datuk John Chong berkata platform baharu itu menyokong aspirasi bank berkenaan di bawah strategi ROAR30 untuk menjadi bank transaksi dan pembayaran terkemuka di ASEAN.
“Maybank2E baharu merealisasikan visi ini dengan membolehkan lebih banyak perniagaan terutama pelanggan PKS dan pertengahan kami, memberikan respons pantas terhadap peluang dan risiko merentasi sempadan dan sepanjang masa,” katanya.
Menurut Chong platform M2E memproses kira-kira RM3 trilion nilai transaksi merentasi 122 juta transaksi di Malaysia pada 2025, menunjukkan skala dan penerimagunaannya dalam kalangan pelanggan perniagaan.
Maybank bercadang untuk melancarkan ciri tambahan dan platform M2E yang dipertingkat di Singapura dan Indonesia tahun ini sebagai antara strategi pengembangan serantaunya.
Penambahbaikan ini adalah sebahagian daripada pelaburan Maybank sebanyak RM10 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang melalui teknologi, data dan kecerdasan buatan di bawah program ROAR30 untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan keupayaan perbankan digital.
-- BERNAMA