BERITA TERKINI   Singapura naikkan bayaran masuk teksi Malaysia ke S$15 setiap perjalanan bermula 1 Jan, 2027 - LTA  | Malaysia melepasi kapasiti tenaga boleh baharu 13.3GW pada 2025, dipacu oleh pertumbuhan pesat tenaga solar - TPM Fadillah | Malaysia menyasarkan 118 juta liter air terawat sehari menjelang 2030 untuk kegunaan industri, meningkat daripada pengeluaran semasa 48.5 juta liter sehari - TPM Fadillah | Penerangan mengenai krisis bekalan global akan dibentangkan di Parlimen pada Isnin depan - Akmal Nasrullah | Malaysia kekal pendirian tidak iktiraf junta Myanmar, lawatan tidak rasmi saluran komunikasi tangani krisis - Mohamad Hasan | 

Malaysia Tumpu Aktiviti Bernilai Tinggi Reka Bentuk Litar Bersepadu, Perkukuh Industri Semikonduktor

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Kerajaan akan memberi tumpuan kepada aktiviti bernilai tinggi dalam reka bentuk litar bersepadu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh industri semikonduktor negara serta mempercepat pembangunan industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata selaras dengan usaha itu, akses token telah ditawarkan kepada tiga syarikat tempatan bagi meningkatkan keupayaan reka bentuk cip tempatan dan mempercepat pembangunan produk semikonduktor yang direka bentuk di Malaysia.

Beliau berkata pembangunan industri HGHV akan dipercepat di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), termasuk dalam industri semikonduktor, elektrik dan elektronik bernilai tinggi, teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).

Ad Banner

“Sebagai contoh, tumpuan akan diberikan kepada aktiviti bernilai tinggi dalam reka bentuk litar bersepadu.

“Selaras dengan itu, akses token kepada tiga syarikat tempatan telah ditawarkan untuk meningkatkan keupayaan reka bentuk cip tempatan serta mempercepat pembangunan produk semikonduktor yang direka bentuk di Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ir Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) mengenai strategi kepelbagaian ekonomi negara bagi mengurangkan kebergantungan kepada sektor komoditi berikutan kemerosotan berterusan sektor perlombongan dan pengkuarian.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mohd Shahar berkata kerajaan akan terus melaksanakan strategi yang digariskan di bawah RMK-13 bagi meningkatkan kerencaman ekonomi, memperhebat pertumbuhan yang terangkum, mampan dan seimbang serta memperluas jaringan perdagangan di peringkat global.

Beliau berkata potensi ekonomi hijau, ekonomi biru dan ekonomi jingga juga akan terus diperkasakan sebagai pemacu pertumbuhan baharu negara.

Katanya, usaha memperkukuh industri HGHV turut disokong melalui peningkatan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi, pengukuhan ekosistem perniagaan, pemerkasaan bakat serta penerimagunaan teknologi termaju.

Selain itu, tambahnya, produktiviti sektor terlibat akan diperkukuh bagi membolehkan industri tempatan meningkatkan daya saing dan menembusi pasaran antarabangsa, manakala jaringan perdagangan dan pelaburan antarabangsa akan terus diperluas menerusi kerjasama serantau serta global termasuk penyertaan Malaysia sebagai negara rakan BRICS dan pengukuhan kerjasama global serta ASEAN.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Hasni mengenai jangkaan pertumbuhan ekonomi negara berdasarkan strategi kepelbagaian ekonomi yang dilaksanakan kerajaan, Mohd Shahar berkata unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia bagi tahun ini kekal antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus seperti yang diunjurkan Bank Negara Malaysia, mencerminkan daya tahan ekonomi negara yang terus berada pada tahap optimum.

“Unjuran itu turut selari dengan jangkaan Tabung Kewangan Antarabangsa yang menjangkakan pertumbuhan negara meningkat di antara 4.7 peratus dan Bank Dunia sebanyak 4.4 peratus.

“Pertumbuhan ekonomi negara terus disokong oleh permintaan domestik, kitaran teknologi global serta pengurusan risiko luaran yang berkesan walaupun ketidaktentuan geopolitik masih menjadi cabaran,” tambahnya.

-- BERNAMA