Cypark Bakal Raih RM52.66 Juta Melalui Tawaran Persendirian Bagi Biaya Projek, Modal Kerja
KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Cypark Resources Bhd mengemukaan cadangan tawaran persendirian sehingga 10 peratus daripada modal saham terbitannya melibatkan penawaran sehingga 82.28 juta saham baharu kepada pelabur pihak ketiga yang dijangka meraih kira-kira RM52.66 juta.
Setakat tarikh boleh laksana terakhir (LPD) pada 31 Mei, 2026, modal saham terbitan syarikat berjumlah RM602.13 juta yang merangkumi 822.83 juta unit saham dengan syarikat tidak memegang sebarang saham perbendaharaan serta tidak mempunyai sebarang sekuriti boleh tukar yang belum dilaksanakan setakat LPD tersebut.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat penyelesaian tenaga boleh baharu (TBB) dan alam sekitar bersepadu itu menyatakan jumlah dana yang diraih berdasarkan harga terbitan ilustratif sebanyak 64 sen bagi setiap saham penempatan.
Daripada keseluruhan hasil penempatan tersebut, kumpulan merancang untuk menggunakan RM45 juta bagi pembiayaan projek-projeknya, RM7.07 juta untuk modal kerja dan RM590,000 bagi anggaran perbelanjaan untuk tawaran persendirian berkenaan.
"Kumpulan berhasrat untuk menggunakan hasil sehingga RM45 juta bagi membiayai projek-projek kumpulan.
"Dana berkenaan akan digunakan antara lain untuk membiayai pembayaran kepada kontraktor, pembekal dan perunding, perolehan bahan serta peralatan, kos mobilisasi serta perbelanjaan operasi harian lain yang ditanggung berkaitan dengan projek-projek kumpulan," katanya.
Satu daripada projek utamanya yang sedang berjalan adalah pembinaan loji fotovoltaik solar terapung hidro hibrid berkualiti 595 megawatt arus ulang-alik (MWac) dengan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) di Terengganu yang bernilai RM1.96 bilion.
Selain itu, pembangunan fasa dua loji sisa pepejal ke tenaga (WTE) SMART di Negeri Sembilan yang dianggarkan bernilai RM700 million; serta loji fotovoltaik solar 99.99MWac di Negeri Sembilan dengan anggaran kos pembangunan sebanyak RM300 juta.
Cypark menyatakan pelaksanaan berkenaan merupakan pilihan pengumpulan dana yang paling wajar kerana ia secara perbandingannya lebih cepat dan merupakan saluran yang cekap untuk meraih kuantum dana yang diperlukan berbanding bentuk pengumpulan dana ekuiti lain.
Ia seperti pelaksanaan terbitan hak apabila hasil diraih secara keseluruhan sekali gus dan pelaksanaan sedemikian secara amnya mengambil masa pelaksanaan yang lebih lama.
Cadangan penempatan persendirian itu juga akan berfungsi sebagai sumber pembiayaan tambahan bagi kumpulan tanpa menanggung kos faedah atau perlu melunaskan bayaran balik prinsipal jika dibandingkan keperluan pembiayaan sedemikian yang dibiayai sepenuhnya melalui pinjaman bank.
"Memandangkan cadangan tawaran persendirian tersebut juga boleh dilaksanakan secara berperingkat, ini membolehkan syarikat meraih dana dengan cepat mengikut keperluan semasa, sekali gus meminimumkan pencairan segera sepenuhnya terhadap pegangan saham pemegang saham sedia ada.
"Apabila cadangan tawaran persendirian itu selesai, asas modal yang diperbesarkan juga dijangka dapat memperkukuh kedudukan kewangan syarikat," katanya.
Mengenai prospek, Cypark memaklumkan ia berhasrat untuk memanfaatkan keupayaan kejuruteraannya bagi mendapatkan dan menukarkan peluang kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengtauliahan (EPCC) baharu termasuk projek solar, solar terapung dan TBB hibrid.
"Kumpulan kini secara aktif menyertai beberapa tender EPCC bagi mengembangkan nilai perolehan kontraknya disokong oleh rekod prestasi pelaksanaan yang kian berkembang serta keupayaan yang semakin diiktiraf.
"Setakat LPD, buku tender kumpulan kira-kira RM2.20 bilion, mencerminkan penyertaan aktif dalam solar berskala besar, BESS, WTE dan peluang infrastruktur yang lain," jelasnya.
TA Securities dilantik sebagai penasihat utama dan ejen penempatan bagi syarikat untuk cadangan tawaran persendirian tersebut.
-- BERNAMA