Hong Leong Bank Terbit Nota Subordinat Tahap 2 Bernilai RM640 Juta
KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Hong Leong Bank Bhd (HLB) menerbitkan nota subordinat berjumlah RM640 juta di bawah program nota subordinat Tahap 2 pelbagai mata wangnya bagi mengukuhkan kedudukan modal serta menyokong keperluan operasi dan perniagaan bank itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, HLB memaklumkan terbitan berkenaan melibatkan Tranche 7 Siri 1 bernilai RM350 juta dan Tranche 7 Siri 2 sebanyak RM290 juta.
Menurut bank itu, hasil terbitan nota subordinat tersebut akan digunakan bagi keperluan modal kerja, tujuan perbankan am dan korporat lain, selain membiayai semula pinjaman sedia ada, hutang subordinat yang diterbitkan HLB serta mana-mana nota subordinat sedia ada di bawah program berkenaan.
HLB memaklumkan Tranche 7 Siri 1 mempunyai tempoh matang 10 tahun dengan tempoh tidak boleh ditebus awal selama lima tahun, manakala Tranche 7 Siri 2 mempunyai tempoh matang 12 tahun dengan tempoh tidak boleh ditebus awal selama tujuh tahun.
“Kadar kupon bagi Tranche 7 Siri 1 ditetapkan pada 3.90 peratus setahun, manakala Tranche 7 Siri 2 pada kadar 4.00 peratus setahun, dengan pembayaran kupon dibuat setiap enam bulan,” menurut bank itu.
HLB turut memaklumkan tarikh opsyen panggilan bagi Tranche 7 Siri 1 ialah pada 26 Jun 2031, manakala Tranche 7 Siri 2 pada 27 Jun 2033 serta pada setiap tarikh pembayaran kupon selepas itu.
Sementara itu, RAM Rating Services Bhd memberikan penarafan AA1 kepada program nota subordinat berkenaan, mencerminkan profil kredit dan kedudukan kewangan yang kukuh bagi instrumen tersebut.
-- BERNAMA