BERITA TERKINI   RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 yang dipinda oleh Dewan Negara sebelum ini, diluluskan Dewan Rakyat | Kekerapan LRT3 ditetapkan pada 7.5 minit waktu puncak, akan disemak semula berdasarkan trend jumlah penumpang dalam sebulan - Loke | ‘Program Pemandu Sihat dan Selamat’ beri kemudahan pemeriksaan kesihatan kepada pemandu kenderaan perdagangan - Loke | Sebanyak RM12.4 juta telah diperuntukkan untuk ‘Program Pemandu Sihat dan Selamat’ - Loke | 

Mampukah KDNK Per Kapita Malaysia Cecah US$20,000 Menjelang Awal Dekad 2030-an?

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Malaysia berjaya meraih satu lagi pencapaian ekonomi yang penting apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal per kapita melepasi paras US$15,000 (US$1= RM4.06) pada 2026, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Berikutan itu, tumpuan kini beralih kepada sasaran penanda aras seterusnya : Mampukah Malaysia berstatus ekonomi dengan KDNK per kapita US$20,000 menjelang awal 2030?

Ad Banner

Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI Shan Saeed percaya sasaran itu mampu dicapai bersandarkan syarat -- Malaysia perlu mengekalkan pertumbuhan produktiviti, momentum pelaburan dan kestabilan makroekonomi.

Walaupun masa akan bergantung kepada produktiviti, pergerakan kadar pertukaran mata wang, aliran demografi dan ekonomi global, beliau berkata Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk meraih pencapaian itu dalam tempoh enam tahun akan datang jika negara mengekalkan dasar makroekonomi kukuh dan meneruskan pelaksanaan pembaharuan struktur.

 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Asas ekonomi kukuh

 

Malaysia memasuki fasa baharu daripada kedudukan kukuh dengan setakat Mei 2026, KDNK nominal mencatat US$516.4 bilion manakala KDNK per kapita mencapai US$15,085.

Ekonomi Malaysia juga berkembang 5.4 peratus tahun ke tahun dalam suku pertama 2026 dan inflasi kekal rendah pada 1.9 peratus.

Pada masa sama, Malaysia terus menonjol sebagai antara pasaran modal paling mendalam di Asia Tenggara dengan permodalan pasaran mencecah US$1.06 trilion atau menyamai hampir 200 peratus daripada KDNK.

Permintaan domestik pula kekal berdaya tahan, pelaburan swasta sedang mengukuh manakala peningkatan teknologi merentasi industri utama kini semakin pesat.

“Berlandaskan latar belakang sedemikian, IQI Global mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang dalam julat 4.5 peratus hingga 5.5 peratus tahun ini, disokong oleh penggunaan yang kukuh, momentum pelaburan yang berterusan serta pengukuhan asas-asas makroekonomi yang semakin mengukuh.

“Kesemua petunjuk ini memaparkan Malaysia tidak sekadar mengembangkan ekonomi, tetapi juga secara beransur-ansur beralih kepada model yang lebih produktif serta pertumbuhan dengan nilai tambah tinggi,” kata Shan.

 

Perjalanan ke arah KDNK per kapita US$20,000

 

Beliau berkata peningkatan KDNK per kapita daripada US$15,085 kepada US$20,000 memerlukan ekonomi dengan nilai US$700 bilion hingga US$730 bilion dan bergantung kepada pertumbuhan populasi serta pergerakan kadar pertukaran asing.

“Sepantas mana Malaysia dapat meraih pencapaian itu sebahagian besarnya bergantung kepada pertumbuhan KDNK per kapita nominal yang diukur dalam dolar AS,” katanya.

Di bawah senario optimis pertumbuhan tahunan pada 7.0 peratus, Malaysia mampu meraih sasaran itu seawal 2030.

Peningkatan tahunan 6.0 peratus akan membolehkan pencapaian itu dicatatkan pada 2031 manakala trajektori 5.0 peratus yang dilihat sebagai senario asas paling realistik, akan menyaksikan Malaysia merentasi paras itu sekitar 2032.

Senario lebih konservatif pada 4.0 peratus berkemungkinan besar melengahkan pencapaian itu sehingga 2033.

“Ini bukanlah unjuran tetapi analisis senario yang dirangka bagi menggambarkan bagaimana pelbagai laluan pertumbuhan, digabungkan dengan pergerakan kadar pertukaran dan trend populasi, boleh mempengaruhi tempoh masa untuk Malaysia mencapai ekonomi dengan KDNK per kapita sebanyak US$20,000.

“Apa yang lebih penting, sebarang pencapaian melangkaui paras US$20,000 akan mengukuhkan peralihan Malaysia ke arah sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dipacu produktiviti yang mampu menjana pertumbuhan gaji lebih kukuh, pengeluaran dengan nilai tambah lebih mantap serta taraf kehidupan lebih tinggi,” katanya.

 

Produktiviti kunci kejayaan

 

Shan berkata produktiviti akan menentukan kejayaan ekonomi Malaysia dalam jangka panjang dan bukannya pencapaian KDNK per kapita semata-mata.

Menurutnya produktiviti buruh kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan pendapatan yang mampan sekali gus membolehkan perniagaan menjana nilai yang lebih besar di samping menyokong peningkatan upah.

Malaysia juga masih mempunyai beberapa kelebihan struktur, termasuk kedudukan yang kukuh dalam pembuatan semikonduktor serta eksport elektrik dan elektronik.

Pada masa sama, pelaburan dalam kecerdasan buatan, pengkomputeran awan, pusat data dan pembuatan termaju terus berkembang.

Pertumbuhan dalam tenaga boleh baharu, perkhidmatan digital, teknologi kewangan dan sektor pelancongan bernilai tinggi turut menyediakan peluang untuk mempelbagaikan ekonomi serta meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global.

Beliau berkata pelaburan berterusan dalam pendidikan, kemahiran teknikal, penyelidikan dan pembangunan, infrastruktur digital serta pembaharuan institusi adalah sama pentingnya.

 

Ringgit dan risiko

 

Selain itu beliau berkata kadar pertukaran asing turut mempengaruhi seberapa pantas untuk Malaysia mencapai penanda aras KDNK per kapita sebanyak US$20,000 berikutan ukuran itu dibuat dalam nilai nominal dolar AS.

Nilai ringgit yang lebih lemah akan mengurangkan nilai KDNK per kapita dalam denominasi dolar AS walaupun kuasa beli sebenar meningkat manakala mata wang yang stabil atau kukuh akan meningkatkan pendapatan dalam denominasi dolar AS.

"Sekiranya kadar pertukaran kekal secara umumnya dalam lingkungan RM3.85 hingga RM4.20 berbanding dolar AS, pencapaian KDNK per kapita sebanyak US$20,000 antara 2031 dan 2032 adalah realistik dan berasas dari segi ekonomi.

"Pengukuhan ringgit mungkin mempercepat sasaran pencapaian itu pada sekitar 2030, namun, sasaran itu mungkin lebih lewat untuk dipenuhi sekiranya penyusutan berpanjangan melebihi RM4.30," katanya.

Shan berkata Malaysia juga perlu berdepan pelbagai risiko luaran termasuk ketegangan perdagangan global, konflik geopolitik, ketidaktentuan pasaran kewangan, turun naik harga komoditi serta pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan.

Di peringkat tempatan, pertumbuhan produktiviti yang lemah, kekurangan tenaga kerja, kemerosotan disiplin fiskal serta kelewatan dalam pelaksanaan reformasi struktur boleh melewatkan pertumbuhan pendapatan.

Pada masa sama, Malaysia perlu mempersiapkan tenaga kerjanya untuk berdepan populasi yang semakin menua, persaingan yang lebih sengit bagi menarik pelaburan asing serta perubahan teknologi yang pesat.

 

Melangkaui pencapaian penting

 

Shan berkata sama ada Malaysia berjaya mencapai KDNK per kapita sebanyak US$20,000 pada 2030, 2031 atau 2032 adalah kurang penting berbanding kualiti pertumbuhan yang menyokong pencapaian itu.

Pencapaian penting itu, katanya, juga perlu dilihat sebagai hasil daripada peningkatan produktiviti yang berterusan, kemajuan teknologi, kekuatan institusi serta pengurusan makroekonomi yang berdisiplin.

"Pencapaian KDNK per kapita sebanyak US$20,000 melambangkan lebih daripada peningkatan paras pendapatan.

"Ini mencerminkan ekonomi yang telah memperdalam kapasiti produktif, meningkatkan daya tahan institusi, mengukuhkan daya saing global serta memperteguh kedudukannya sebagai antara destinasi utama ASEAN bagi pelaburan jangka panjang dan aktiviti ekonomi bernilai tinggi," katanya.

Menurutnya, apa yang lebih penting, pencapaian itu akan membuktikan bahawa kejayaan Malaysia bukan sahaja diukur berdasarkan saiz ekonominya, malah melalui kualiti, daya tahan dan keterangkuman pertumbuhannya.

-- BERNAMA