Ringgit Ditutup Rendah Susulan Sentimen Menjelang Pengumuman Data Penting AS
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga Selasa dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika peserta pasaran kekal berhati-hati menunggu pengumuman data-data ekonomi penting AS lewat malam ini.
Pada 6 petang ini, ringgit susut kepada 4.0825/0870 berbanding dolar AS daripada paras 4.0680/0735 pada akhir sesi semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data utama AS yang menjadi tumpuan adalah Tinjauan Penawaran Jawatan dan Buruh serta Indeks Keyakinan Pengguna Lembaga Persidangan Pengguna AS.
“Dolar AS mendapat sokongan baik dengan Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.23 peratus kepada 101.338 mata,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata ringgit juga telah mengukuh berbanding dolar AS pada sesi awal hari ini dengan mencecah paras RM4.04 sebelum susut ke paras sekitar RM4.08.
Dalam pada itu, ringgit juga rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain pada penutup hari ini.
Ringgit rendah berbanding pound Britain kepada 5.4036/4096 daripada 5.3767/3839, susut berbanding euro kepada 4.6528/6580 daripada 4.6383/6446 dan turun berbanding yen Jepun pada 2.5154/5183 daripada 2.5128/5164 pada penutupan semalam.
Prestasi ringgit juga bercampur-campur berbanding mata wang serantau.
Berbanding dolar Singapura, ringgit rendah kepada 3.1532/1570 daripada 3.1445/1490 dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.2874/3084 daripada 12.2199/2412,
Ringgit bagaimanapun mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 227.9/228.3 daripada 227.8/228.3 dan tidak banyak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.65/6.67 daripada 6.65/6.66, sebelum ini.
-- BERNAMA