Aktiviti Belian Saham Kewangan, Telekomunikasi Dorong Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan trend kenaikan pada tengah hari, disokong oleh minat belian yang kukuh ke atas saham-saham kewangan utama dan telekomunikasi.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.51 mata kepada 1,662.34 daripada 1,656.83 semasa ditutup pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi 1.99 mata kepada 1,658.82 dan mengalami turun naik antara 1,657.77 hingga 1,666.26 sepanjang sesi dagangan pagi.
Pasaran secara menyeluruh kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 574 berbanding 353, manakala 452 kaunter tidak berubah, 1,262 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.59 bilion saham yang bernilai RM908.54 juta.
Bursa tempatan itu mencatat situasi yang bertentangan dengan prestasi bercampur-campur di bursa serantau, apabila pelabur di rantau ini mengurangkan pendedahan kepada saham wajaran tinggi berkaitan kecerdasan buatan dan semikonduktor susulan kenaikan ketara sebelum ini.
Ini berikutan penstrukturan semula portfolio, pengambilan untung dan tumpuan kepada pengurusan risiko.
Di peringkat serantau, Indeks Komposit SSE Shanghai meningkat 0.90 peratus kepada 4,075.31, Nikkei 225 Jepun susut 1.17 peratus kepada 69,272.11, Indeks Komposit KOSPI Korea Selatan turun 4.89 peratus kepada 7,897.29, manakala Indeks Straits Times Singapura naik 0.38 peratus kepada 5,181.27.
Menurut nota penyelidikan Hong Leong Investment Bank Bhd hari ini, FBM KLCI dijangka kekal tidak menentu dan dipacu oleh berita-berita besar selepas permulaan yang berhati-hati pada Julai, dengan sentimen ditentukan melalui perkembangan diplomasi Amerika Syarikat (AS)–Iran serta jangkaan pendirian yang lebih agresif oleh Rizab Persekutuan AS yang memberi tekanan kepada ringgit dan aliran perdagangan.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat lapan sen kepada RM10.74, Public Bank melonjak lima sen kepada RM4.80, Tenaga Nasional meningkat empat sen kepada RM14.24, CIMB melonjak tiga sen kepada RM7.45, manakala IHH jatuh tujuh sen kepada RM8.23.
Bagi saham aktif, Zetrix AI, Pentech dan Velocity masing-masing naik satu sen kepada 77.5 sen, 30.5 sen dan tujuh sen, manakala Tanco susut setengah sen kepada 17 sen dan GIIB susut satu sen kepada 50 sen.
Dalam senarai saham paling untung, Nestlé meningkat 38 sen kepada RM92.14, Telekom Malaysia naik 17 sen kepada RM7.50, manakala United Plantations dan F&N masing-masing melonjak 22 sen kepada RM33.20 dan RM28.16. PPB pula menokok 16 sen kepada RM9.32.
Bagi saham paling rugi ialah Malaysian Pacific Industries yang susut 70 sen kepada RM48.30; Vitrox jatuh 13 sen kepada RM7.76; Chin Teck merosot 16 sen kepada RM10.90; Malayan Cement kehilangan 12 sen kepada RM6.21 dan Pentamaster susut 10 sen kepada RM4.84.
Di pasaran lebih luas, Indeks FBM Emas meningkat 11.61 mata kepada 12,360.73, manakala Indeks FBM Top 100 naik 15.06 mata kepada 12,190.48 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 6.21 mata kepada 12,234.51.
Indeks FBM Mid 70 susut 85.52 mata kepada 17,830.84, manakala Indeks FBM ACE turun 14.98 mata kepada 4,853.76.
Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 107.98 mata kepada 19,593.75, Indeks Perladangan naik 42.76 mata kepada 8,885.80, manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut sedikit 0.53 mata kepada 179.86, sementara Indeks Tenaga turun 7.90 mata kepada 748.65.
-- BERNAMA