BERITA TERKINI   Dasar bantu orang Melayu tidak perlu dilaung sebagai slogan, sebaliknya mesti dilaksanakan - PM Anwar | PM Anwar tempelak pihak guna slogan ketuanan Melayu, namun gagal pertahan tanah rizab Melayu | Kemajuan Malaysia perlu berteraskan nilai moral, bukan pertumbuhan ekonomi semata-mata - PM Anwar | Layanan yang adil terhadap semua komuniti penting bagi pelihara perpaduan negara - PM Anwar | Pemimpin agama digesa perjuang nilai belas ihsan, keadilan dan persefahaman - PM Anwar | 

Eckem Jangka Permintaan Kukuh Terhadap Bahan Kimia Industrinya Disokong Pertumbuhan Pesat Pusat Data

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Eckem Holdings Bhd menjangka permintaan terhadap bahan kimia industri khususnya kekal berdaya tahan, disokong oleh pertumbuhan pesat pusat data yang dipacu kecerdasan buatan (AI).

Pengarah Eksekutifnya, Jack Tan berkata ledakan pusat data yang berterusan akan terus memberi manfaat kepada pelanggan syarikat dalam sektor pembinaan, terutamanya mereka yang terlibat dalam bahan cat dan bahan kalis air.

“Dengan perkembangan semasa AI dan ledakan pusat data, kami yakin pelanggan kami akan terus mencatat prestasi baik dan menyumbang secara positif kepada prestasi perniagaan kami,” katanya pada sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE di sini hari ini.

Ad Banner

Pada sesi pembukaan, saham syarikat itu yang mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dibuka mendatar pada 12 sen, tidak berubah daripada harga tawaran awam permulaannya, dengan 12.18 juta saham diniagakan.

Tan berkata syarikat optimis dengan harga saham pada sesi pembukaan itu dan menyatakan penghargaan atas sokongan daripada pelabur institusi dan runcit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi David Tan berkata Eckem menjangka permintaan yang kukuh daripada pasaran luar negara walaupun kos operasi meningkat.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Produk kami merupakan produk teknikal yang sangat khusus dan dieksport ke Australia, Eropah dan Amerika Utara. Barangan ini masih mendapat permintaan yang baik.

“Oleh itu, pertumbuhannya dapat mengimbangi impak negatif terhadap operasi pembuatan kami,” katanya.

Syarikat tidak memberi keutamaan kepada pengembangan ke Sabah dan Sarawak dalam tempoh terdekat. Tumpuan segera adalah kekal kepada usaha memperkukuh kedudukannya di pasaran luar negara.

Berdasarkan prospek permintaan yang menggalakkan, Jack berkata Eckem merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang selepas penyenaraian. 

“Antara sasaran utama kami adalah meningkatkan kapasiti pengeluaran kami. Kami berharap dapat menggandakan kapasiti kami supaya dapat menyumbang secara positif kepada pendapatan dan keuntungan kami,” katanya.

Mengenai persekitaran perniagaan, Jack berkata ketidaktentuan geopolitik, tekanan harga dan kestabilan bekalan kekal menjadi antara cabaran utama syarikat pada tahun ini.

“Kami sedang cuba menstabilkan harga dan bekalan. Dengan peperangan yang dilihat mereda, ini dijangka memberi impak positif kepada keuntungan dan kerugian syarikat,” katanya.

Saham itu ditutup pada 12 sen, tidak berubah daripada harga tawaran awam permulaannya, dengan 82.09 juta saham diniagakan.

-- BERNAMA