SPRM Tamatkan Siasatan Terhadap Unit Rohas, Tiada Tindakan Lanjut Diambil
KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Anak syarikat milik 86.8 peratus Rohas Tecnic Bhd, HG Power Transmission Sdn Bhd (HGPT) menerima pengesahan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa siasatan yang melibatkan syarikat itu telah pun selesai.
Rohas Tecnic dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini menyatakan SPRM mengesahkan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap HGPT, pemegang sahamnya, para pengarah atau bekas pengarah berhubung perkara berkenaan.
Syarikat itu menjelaskan, siasatan yang sudah selesai itu menamatkan isu berkenaan selain memberikan kejelasan kepada syarikat dan para pemegang kepentingannya.
Siasatan tersebut dilakukan susulan perintah pembekuan dan penyitaan yang dikeluarkan oleh SPRM pada 17 Okt, 2025.
Ia tertakluk di bawah Seksyen 44(1) dan 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA) berhubung akaun bank tertentu milik Rohas Tecnic, HGPT dan Rohas-Euco Industries Bhd (REI).
Seterusnya, pada 26 Nov, 2025, Rohas Tecnic dan HGPT menerima notis pembatalan perintah tersebut yang dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya di bawah Seksyen 50(1) AMLA, sehari selepas REI menerima perintah pembatalan daripada SPRM di bawah Seksyen 44A Akta yang sama.
Pada 26 Jun lepas, SPRM membatalkan perintah penyitaan yang sebelum ini dikeluarkan di bawah Seksyen 50(1) AMLA berhubung akaun bank HPGT.
-- BERNAMA