BERITA TERKINI   Dasar bantu orang Melayu tidak perlu dilaung sebagai slogan, sebaliknya mesti dilaksanakan - PM Anwar | PM Anwar tempelak pihak guna slogan ketuanan Melayu, namun gagal pertahan tanah rizab Melayu | Kemajuan Malaysia perlu berteraskan nilai moral, bukan pertumbuhan ekonomi semata-mata - PM Anwar | Layanan yang adil terhadap semua komuniti penting bagi pelihara perpaduan negara - PM Anwar | Pemimpin agama digesa perjuang nilai belas ihsan, keadilan dan persefahaman - PM Anwar | 

Niaga Hadapan MSM Dijangka Didagangkan Sekitar RM4,200-RM4,300 Minggu Depan

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam julat RM4,200 hingga RM4,300 disebabkan oleh jangkaan aktiviti pengambilan untung akan berlaku serta petunjuk penawaran dan permintaan yang bercampur-campur, kata seorang pedagang industri.

Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies, Jim Teh berkata penurunan harga minyak mentah baru-baru ini kepada sekitar US$71 setong diunjurkan akan mendorong pedagang spekulatif untuk mengambil keuntungan dalam pasaran MSM minggu depan.

Ad Banner

“Bagaimanapun, harga MSM dijangka masih disokong oleh faktor berkaitan tenaga, walaupun pasaran minyak mentah semakin lemah. Julat dagangan diunjurkan antara RM4,200 dan RM4,300 minggu depan yang merupakan harga yang baik,” katanya kepada Bernama.

Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata niaga hadapan MSM dijangka diniagakan dengan kecenderungan menurun minggu depan disebabkan oleh kebimbangan berterusan mengenai peningkatan tahap pengeluaran dalam beberapa minggu akan datang.

Beliau berkata pasaran niaga hadapan dijangka diniagakan antara RM4,400 dan RM4,550 minggu depan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Julai 2026 susut RM65 kepada RM4,439 satu tan metrik, kontrak Ogos 2026 turun RM81 kepada RM4,458 setan dan kontrak September 2026 berkurangan RM88 kepada RM4,480 satu tan.

Kontrak Oktober 2026 menguncup RM86 kepada RM4,505 setan, November 2026 merosot RM78 kepada RM4,533 satu tan, dan Disember 2026 berkurangan RM72 kepada RM4,559 setan.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 314,563 lot daripada 330,455 lot pada minggu lepas, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 289,282 kontrak daripada 287,112 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Jun Selatan merosot RM60 kepada RM4,470 satu tan.

-- BERNAMA