Institusi Tempatan Terus Catat Aliran Belian Bersih 12 Minggu Berturut-turut - MBSB Research
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Institusi tempatan meneruskan aliran belian bersih di Bursa Malaysia kepada minggu ke-12 berturut-turut dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM474.6 juta minggu lepas.
Menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB Research) dalam laporan aliran dana bagi minggu berakhir 3 Julai 2026, pembelian berterusan itu susulan institusi asing kekal sebagai penjual bersih untuk minggu kelapan berturut-turut, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM391.1 juta.
"Pelabur asing adalah penjual bersih bagi tiga daripada lima hari dagangan minggu lepas, dengan aliran keluar tertinggi direkodkan pada Selasa sebanyak RM183.0 juta, diikuti Khamis (RM144.9 juta) dan Rabu (RM130.3 juta).
“Aliran masuk tertinggi pula dicatatkan pada Isnin sebanyak RM55.4 juta, diikuti Jumaat (RM11.7 juta)," menurut laporan itu.
Menurut MBSB Research, sektor teknologi mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi sebanyak RM41.6 juta, diikuti pengangkutan dan logistik (RM26.0 juta) serta pembinaan (RM22.2 juta).
Menurutnya aliran keluar bersih asing terbesar direkodkan oleh sektor perkhidmatan kewangan sebanyak RM252.2 juta, diikuti produk dan perkhidmatan pengguna (RM60.0 juta) serta penjagaan kesihatan (RM59.3 juta).
Purata jumlah dagangan harian pula menyusut bagi semua kumpulan pelabur, dengan penurunan sebanyak 12.7 peratus dalam kalangan pelabur runcit, 23.4 peratus bagi institusi tempatan dan 5.9 peratus bagi pelabur asing.
-- BERNAMA