OPPO Lancar Siri Reno16 Fotografi Berkuasa AI
PUTRAJAYA, 8 Julai (Bernama) -- OPPO hari ini melancarkan Siri Reno16 di Malaysia, dengan memperkenalkan rangkaian telefon pintar baharu yang menampilkan fotografi berkuasa kecerdasan buatan (AI), alat penyuntingan kreatif dan reka bentuk baharu, bertujuan memperkukuh penciptaan kandungan bagi pengguna.
Siri Reno16 merangkumi Reno16 Pro 5G, Reno16 5G dan Reno16 F 5G, semuanya dilengkapi dengan Reka Bentuk Pop Planet tiga dimensi (3D) baharu, paparan imej AI dan ColorOS 16 OPPO bagi memberikan pengalaman penciptaan mudah alih yang lebih intuitif dan ekspresif.
Pengarah Pemasaran OPPO Malaysia Monoca Qin berkata siri Reno secara konsisten memberi tumpuan untuk membantu pengguna mengekalkan detik-detik bermakna menerusi fotografi.
“Reno sentiasa memberi tumpuan kepada satu perkara dan ia adalah merakamkan detik-detik keseronokan dalam hidup anda bagi menjadikan ia amat istimewa,” katanya pada pelancaran Siri Reno16 di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, siri tersebut turut memperkenalkan Teknologi 3D HoloVerse yang pertama dalam industri pada edisi Pop White, menghasilkan kesan visual terapung yang diinspirasikan oleh nebula menerusi jutaan kanta mikro yang membina semula cahaya untuk menghasilkan penampilan tiga dimensi.
Sementara itu, ciri-ciri berkuasa AI baharu yang diperkenalkan dalam Siri Reno16 termasuk Pop Cam, AI Remix Collage, Popout Collage 2.0, 4K Auto Straighten Video, AI Snap Key, AI Mind Space dan AI Mind Pilot, yang direka untuk memudahkan penciptaan kandungan, penyuntingan dan produktiviti harian.
“Siri Reno16 menggabungkan ColorOS 16 terkini dengan pelbagai pengalaman pintar berkuasa AI yang menjadikan interaksi harian lebih intuitif, diperibadikan dan cekap,” katanya.
Reno16 Pro juga menampilkan Kamera Utama Ultra Jernih 200 megapiksel, manakala ketiga-tiga model dilengkapi dengan Kamera Swafoto Ultra Lebar 50 megapiksel dan sistem tiga kamera belakang.
Peranti itu dilengkapi dengan bateri 6,700 miliampere-jam (mAh) atau lebih, dengan Reno16 F menawarkan sehingga 7,000 mAh, di samping pengecasan pantas SUPERVOOC sehingga 80 watt, bergantung pada model.
Selain siri telefon pintar, OPPO turut memperkenalkan OPPO Bubble, peranti pendamping magnetik yang menampilkan paparan Diod Pemancar Cahaya Organik Matriks Aktif (AMOLED) yang berfungsi sebagai monitor kamera belakang, pemidang tilik jauh dan aksesori yang boleh disesuaikan.
Siri Reno16 kini boleh ditempah terlebih dahulu melalui saluran pengedaran sah OPPO Malaysia, dengan Reno16 Pro 5G tersedia dalam warna Putih Pop dan Hitam Starlight, dengan harga RM3,699.
Sementara itu, Reno16 5G dan Reno16 F 5G, yang ditawarkan dalam warna Pop White, Twilight Violet dan Dream Purple, masing-masing bermula dari RM2,699 dan RM1,999.
-- BERNAMA