Malaysia Debt Ventures Kekalkan Penarafan Kredit Korporat 'AA3/Stable/P1
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) mengekalkan penarafan kredit korporat "AA3/Stable/P1" daripada RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings), mencerminkan keyakinan berterusan terhadap kekukuhan profil kredit syarikat serta sokongan kerajaan terhadap mandat strategiknya.
RAM Ratings turut mengekalkan penarafan yang sama bagi Program Kertas Komersial dan Nota Jangka Sederhana (CP/MTN) konvensional dan Islam bernilai RM2.0 bilion milik MDV.
Menurut MDV dalam satu kenyataan, pengekalan penarafan itu mencerminkan penilaian RAM Ratings bahawa syarikat terus mendapat sokongan kukuh kerajaan berikutan peranannya dalam memperkasa ekosistem teknologi dan inovasi negara, selain statusnya sebagai syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan).
MDV memaklumkan penarafan itu turut mengiktiraf kepentingan strategiknya yang berterusan, termasuk peranannya sebagai antara agensi pelaksana di bawah Kemudahan Peralihan Tenaga Nasional (NETF), yang menyokong pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Menurut syarikat itu, peranan tersebut membolehkan MDV terus menyokong pembangunan projek berasaskan teknologi dan kemampanan, selaras dengan agenda peralihan tenaga serta pertumbuhan ekonomi jangka panjang negara.
Ketua Pegawai Eksekutif MDV Rizal Fauzi berkata pengekalan penarafan "AA3/Stable/P1" oleh RAM Ratings mencerminkan keyakinan terhadap peranan MDV sebagai pembiaya sektor teknologi negara serta komitmennya memperluas akses pembiayaan kepada sektor teknologi yang kurang mendapat perhatian institusi kewangan.
"Ketika negara mempergiat agenda inovasi, kemampanan dan peralihan tenaga, MDV kekal komited memperluas akses pembiayaan kepada syarikat dan projek yang berpotensi menjana impak ekonomi mampan serta nilai jangka panjang kepada negara," katanya.
-- BERNAMA