BERITA TERKINI   Tanggungan 1MDB yang telah dan masih perlu ditanggung kerajaan berjumlah RM51.4 bilion - Liew | Setakat ini, kerajaan telah berjaya mendapatkan semula dana berkaitan 1MDB berjumlah RM31.3 bilion - Liew | Kerajaan MADANI usaha perkukuh tadbir urus, pulih keyakinan antarabangsa susulan skandal 1MDB - Liew | Kerajaan telah membayar RM42.5 bilion hutang dan komitmen 1MDB - Liew | PRN Johor: 73 laporan polis diterima, 22 kertas siasatan dibuka sejak 27 Jun hingga semalam - Ketua Polis Johor | 

Bank Di Malaysia, DFI Giat Guna AI, Kekal Berhati-hati Laksana Keputusan Penting - Laporan AICB

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Bank-bank dan institusi kewangan pembangunan (DFI) di Malaysia sedang aktif menggunakan kecerdasan buatan (AI) namun kebanyakannya masih mengambil langkah berhati-hati dalam membuat keputusan terutamanya bagi perniagaan yang berimpak tinggi.

Itu merupakan dapatan berdasarkan kajian baharu oleh Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), Ecosystm dan AICB Chief Risk Officers’ Forum.

Laporan bertajuk 'AICB-Ecosystm AI in Practice: How Malaysia’s Banks & DFIs are Adopting and Governing AI' mendapati AI semakin banyak digunakan dalam bidang seperti pendaftaran pelanggan bagi Kenali Pelanggan Anda (KYC) dan pengesanan penipuan.

Ad Banner

Selain itu, ia turut digunakan bagi pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (AML/CFT) selain untuk produktiviti pekerja.

"(Bagaimanapun), hanya 25 peratus responden cukup mempercayai hasil cetusan yang dijana AI sehingga sanggup menggunakannya dalam membuat  keputusan perniagaan yang penting," menurut AICB dalam satu kenyataan.

Dilancarkan di luar Persidangan Perbankan Malaysia ke-4 dan Persidangan Audit Bank ke-2 anjuran AICB, kajian tersebut memanfaatkan maklum balas daripada 87 pemimpin kanan merentasi bank komersial, digital dan Islam di Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Kajian itu turut mendapat maklum balas daripada institusi kewangan pembangunan selain disokong oleh pandangan meja bulat eksekutif dan temu bual.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif AICB Edward Ling berkata bank-bank dan DFI di Malaysia tidak lagi mempersoalkan sama ada AI mempunyai peranan dalam perkhidmatan kewangan atau sebaliknya.

"Persoalannya sekarang sama ada institusi-institusi ini mempunyai pertimbangan, etika, tadbir urus dan keupayaan profesional untuk menggunakan AI secara bertanggungjawab dalam keputusan yang memberi kesan kepada pelanggan, risiko dan prestasi institusi," katanya.

Pengerusi AICB Chief Risk Officers’ Forum yang juga Ketua Pegawai Risiko Kumpulan RHB Malaysia Chong Han Hwee berkata AI membawa dimensi kerumitan baharu kerana risikonya tidak hanya terletak pada model itu semata-mata.

"Risiko-risiko ini wujud di seluruh ekosistem daripada kualiti data dan corak penggunaan manusia kepada keputusan yang dipengaruhi oleh AI serta bagaimana faktor-faktor ini berubah dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Pandangan Industri Ecosystm Sash Mukherjee berkata apabila AI semakin meluas digunakan ke dalam kes penggunaan yang berisiko tinggi, institusi kewangan menuntut kejelasan yang lebih baik mengenai pengurusan risiko model, kebolehjelasan, AI pihak ketiga serta tadbir urus data.

"Namun, kawal selia sahaja tidak akan mampu seiring dengan perkembangan teknologi ini. Kerjasama yang berterusan di antara industri dengan pengawal selia adalah sama penting bagi memastikan rangka kerja tadbir urus berkembang seiring dengan inovasi AI," kata Sash.

Menurut kajian tersebut, 44 peratus bank dan DFI di Malaysia berada pada peringkat 'membangun' dalam kesediaan AI dan mereka melepasi fasa percubaan namun masih berdepan dengan keupayaan yang tidak menyeluruh merentasi aspek data, kemahiran dan model operasi.

Hanya 15 peratus mencapai tahap kesediaan 'mantap' manakala cuma dua peratus dikategorikan sebagai 'maju' iaitu tahap apabila AI disepadukan sepenuhnya dalam proses membuat keputusan dan ia menyumbang secara langsung kepada perbezaan daya saing.

Kajian itu turut mengenal pasti bidang-bidang utama yang menjadi cabaran kepada organisasi dalam mewujudkan kesediaan AI.

"Hanya 26 peratus daripada institusi mempunyai strategi jelas yang menghubungkan AI dengan matlamat perniagaan manakala 44 peratus pula sudah membangunkan penyelesaian AI tersuai sekali gus meningkatkan risiko inisiatif yang tidak selaras dan sukar untuk diperluas atau ditiru," jelas AICB.

Sementara itu, ia menyatakan 79 peratus melaporkan kekurangan dalam kemahiran teknikal AI yang khusus manakala hanya 20 peratus secara aktif menggalakkan pembuatan keputusan berasaskan AI dalam kalangan tenaga kerja sekali gus menyerlahkan jurang keupayaan AI di peringkat organisasi secara keseluruhannya.

Menurut AICB, tadbir urus AI kekal menjadi satu lagi kekangan utama.

"Kira-kira 53 peratus organisasi masih bergantung kepada tadbir urus yang tidak tersusun atau ad hoc berbanding rangka kerja berasaskan risiko yang konsisten untuk menentukan kawalan, kelulusan dan pemantauan yang bersesuaian bagi pelbagai kes penggunaan AI.

"Hanya 33 peratus mewujudkan tadbir urus AI dan pengurusan risiko model yang berstruktur manakala 27 peratus lagi melaksanakan sistem penggredan risiko AI secara formal bagi menyesuaikan pemantauan berdasarkan tahap risiko," jelasnya.

Menurut AICB dapatan kajian tersebut menyediakan penanda aras penting bagi sektor kewangan ketika institusi beralih daripada projek perintis AI kepada pelaksanaan AI yang bertanggungjawab di seluruh organisasi.

Selain itu, ia menekankan mandat serta komitmen institut dalam membina keupayaan industri bagi mengharungi masa depan perbankan.

-- BERNAMA